NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saifuddin tegur Rafizi: Henti buat kenyataan perbincangan PKR


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menggesa Timbalan Presidennya Rafizi Ramli supaya menghentikan membuat kenyataan terbuka mengenai proses pemilihan parti bagi PRU15.

"Parti telah buat keputusan. Hormat dan patuh. Elak buat kenyataan tentang hujah, alasan atau siapa di sebalik sesuatu keputusan itu dibuat.

"Calon telah dimuktamad. Itu keputusan bersama. Ini keputusan parti. Tidak semua perbincangan dalaman parti perlu di hebah. Proses parti perlu dihormati," katanya kepada Malaysiakini.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Rafizi mengenai perbezaan pandangan antara dirinya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pemilihan calon parlimen Sungai Buloh.

Rafizi semalam berkata bahawa dia dan jawatankuasa pemilihan calon parti itu pada mulanya mencadangkan agar penyandang kerusi parlimen itu, R Sivarasa (gambar, atas) mempertahankan Sungai Buloh pada PRU15 ini.

Bagaimanapun, katanya Anwar mempunyai pendapat berbeza dan dia menghormati budi bicara tersebut kerana memang kuasa letak calon ialah bidang kuasa presiden.

PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan timbalan ketua penerangannya, R Ramanan di kerusi parlimen Sungai Buloh.

Pengumuman Ramanan sebagai calon PKR di Sungai Buloh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahlinya yang mendesak supaya Sivarasa dikekalkan atau calon lain dipilih.

Khairy dan Ramanan.

Ini terutama selepas BN mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon mereka di kawasan itu.

Rafizi berkata selepas mempertimbangkan maklum balas yang diterima, PKR membuat keputusan untuk mengekalkan Ramanan sebagai calon di Sungai Buloh.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan media tempatan mendedahkan bahawa "isu kesihatan" menjadi sebab R Sivarasa tidak dinamakan semula bagi mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan dipetik Utusan Online berkata penampilan Sivarasa yang dilihat dengan keuzuran semasa berkempen boleh memberi kesan kepada peluang PH untuk mengekalkan kerusi itu.

Sementara itu, Saifuddin berkata langkah terbaik buat masa ini adalah memberi fokus kepada strategi untuk menang pada PRU ini.

"Meneruskan ke depan dan fokus kepada jentera. Mobilisasi dan menghubungi seramai mungkin pengundi dan memberi mesej yang betul.

"Masa sudah tidak banyak," katanya.

Penamaan calon PRU15 diadakan pada 5 Nov esok manakala hari mengundi pada 19 Nov.

Sungai Buloh mempunyai 158,090 jumlah pengundi dengan kaum Melayu terdiri daripada 99,278 pengundi diikuti Cina (32,560) dan India (16,361).



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo