NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ratusan terjejas banjir di Selangor, P Pinang, Kedah dan Melaka

Banjir berlaku susulan hujan lebat yang berlarutan selama empat jam di beberapa kawasan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ratusan mangsa di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Melaka terjejas akibat banjir.

Keseluruhannya, seramai 1,256 mangsa banjir direkodkan dengan Selangor mencatatkan jumlah terjejas paling tinggi membabitkan 890 mangsa daripada 212 keluarga, setakat ini.

Menurut Bernama, satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Selangor iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sireh, Tanjong Karang yang menempatkan seramai 10 mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata setakat pagi ini, sebanyak empat kawasan iaitu Lorong 14, 15, 18 dan 19 di Kampung Sungai Sireh dikenal pasti terjejas akibat banjir.

“Semua mangsa yang terlibat ditempatkan di SK Sungai Sireh…trend air banjir di sini dilihat mula menurun,” katanya.

Menurut laman web InfoBencanaJKM, setakat ini lapan PPS telah dibuka di Selangor iaitu tiga dalam daerah Klang, satu di daerah Petaling serta empat di Kuala Selangor yang menempatkan seramai 890 mangsa daripada 212 keluarga.

Dalam pada itu, di Alor Setar, Kedah, sebanyak enam PPS dibuka bagi menempatkan 239 mangsa dari daerah Kulim dan Bandar Baharu yang terjejas banjir kilat susulan hujan lebat selama dua jam, lewat petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata kesemua mangsa itu terdiri daripada 61 keluarga.

“Lima PPS telah dibuka di Kulim iaitu di Surau Taman Sang Kancil yang menempatkan 93 orang daripada 25 keluarga, Masjid Sungai Seluang (91 orang daripada 21 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Limau (27 orang daripada lapan keluarga).

“Sementara itu, di SK Permatang Tok Dik menempatkan 14 orang daripada empat keluarga manakala di Dewan Penghulu Paya Tok Betok menempatkan enam orang daripada satu keluarga,” katanya.

Sementara itu, di Pulau Pinang, sejumlah 117 mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS setakat 9 pagi ini, setelah beberapa kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) dilanda banjir kilat susulan hujan lebat, sejak 5 petang, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata tiga PPS yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) True Light, Perkampungan Juru dan Dewan Orang Ramai Bukit Teh di sini serta Dewan Banjir Desa Puri di Tasek Gelugor.

“PPS di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SJKC) True Light Seberang Perai Tengah (SPT) dibuka sejak malam tadi, menempatkan seramai 87 orang daripada 27 keluarga manakala PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh juga daerah sama menempatkan seramai tujuh keluarga melibatkan 22 orang,” katanya ketika dihubungi.

Di Melaka, dua PPS dibuka di Alor Gajah selepas daerah itu dilanda banjir kilat tengah malam tadi, akibat hujan lebat yang bermula sejak 5.30 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Melaka dalam kenyatan berkata setakat 8 pagi ini, seramai 29 mangsa dari 10 keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Gadek dan Balai Raya Bukit Balai Durian Tunggal.

“Kedua-dua PPS tersebut masing-masing diaktifkan pada 12.45 malam dan 1 pagi tadi apabila lima kawasan iaitu Kampung Kuala Sungga Tebong, Kampung Orang Asli Hutan Percha, Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai dinaiki air,” menurut kenyataan itu.


Sumber I FMT Malaysia 




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo