NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘PN bukan lagi underdog, sokongan besar rakyat petanda kemenangan’


Gelombang besar sokongan yang diterima Perikatan Nasional sejak kebelakangan ini mengetepikan tanggapan awal bahawa gabungan itu hanya ‘underdog’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada Sabtu, 19 November 2022 ini.

Menyifatkan sokongan itu amat luar biasa, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berkecimpung dalam dunia politik negara lebih 48 tahun lalu, melihat gelombang itu sebagai tanda rakyat Malaysia bersedia memberi mandat kepada gabungan itu untuk membentuk Kerajaan Persekutuan kali ini.

“Saya telah pergi ke seluruh negara (berkempen)… dan Pasir Gudang ini bukan yang terakhir… di setiap kawasan yang saya lawati dan tinjau secara dekat, saya dapati bahawa dukungan pengundi-pengundi di hampir semua negeri-negeri yang saya lawati agak luar biasa.

“Iaitu suatu petanda juga yang saya telah sebutkan tadi bahawa Perikatan Nasional akan menang dalam PRU-15 ini insya-Allah.

“Di peringkat awal sebelum hari penamaan calon ramai yang berkata bahawa Perikatan Nasional ini underdog. Macam orang tak pandang sangatlah. Agak dipandang remeh seolah-olah kita ni macam budak sekolah.

“Tapi terbukti tanggapan dan andaian ini adalah salah. Kerana pada hari ini dapat lihat jelas dan nyata di mata kepala saya dan saudara sekalian bahawa kita sudah pun melihat satu kemaraan… dukungan rakyat yang luar biasa dan hebat…

“Seolah-olah sudah ada satu gelombang besar nak mengangkat Perikatan Nasional membentuk kerajaan selepas 19 hari bulan ini insya-Allah,” katanya berucap pada program Jelajah Perikatan Nasional ‘PN BEST’ melibatkan Parlimen Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau di Taman Sierra Perdana, Masai, malam tadi (15 November 2022).

Lebih 2,000 orang menghadiri program itu, malah ada dilihat terpaksa mengikuti ceramah berkenaan dari luar khemah utama yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 tetamu.

Turut hadir pada program itu ialah calon PN di kerusi Parlimen Pasir Gudang, Mohamad Farid Abdul Razak; Parlimen Tebrau (Mohamad Isa Mohamad Basir); Parlimen Pulai (Loh Kah Yong); dan Parlimen Johor Bahru (Mohd Mohtaj Yacob).




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo