NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN ada kelebihan dalam pertarungan terakhir PRU15 Padang Serai


Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 telah berlangsung pada 19 November 2022 lalu dengan Perikatan Nasional (PN) hampir menyapu bersih 13 daripada 14 kerusi parlimen yang dipertandingkan.

Kemenangan PN di Kedah juga tidak disangka kerana majoriti yang diperolehi juga besar walaupun kebanyakkannya melibatkan lebih tiga penjuru atau kawasan dominan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Sebagai contohnya majoriti PN di Jerai sebanyak 33,192, Kubang Pasu (31,584), Pokok Sena (31,751) dan Pendang (31,289).

Keputusan 13 – 1 itu dianggap mengejutkan terutama kebangkitan anak muda menolak calon-calon BN dan PH termasuklah di kawasan marginal melibatkan pengundi bukan Islam seperti di Alor Setar dan Kulim-Bandar Baharu.

Padang Serai juga adalah parlimen pengundi marginal tersebut, yang mengandungi dua kerusi DUN, iaitu Merbau Pulas dan Lunas. Parlimen ini agak bertuah kerana kedua-dua DUN tersebut diwakili oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah walaupun ia bukanlah kawasan dominan Pas.

Dalam PRU-14, Parlimen Padang Serai dimenangi dengan majoriti 8,813 oleh Karupaiya Mutusami (PH-PKR), calon PRU-15 yang meninggal dunia pada 16 November lalu, tiga hari sebelum pengundian.

Kerusi Dun Merbau Pulas dimenangi oleh Dato’ Siti Ashah Ghazali (Pas) dengan majoriti 438 undi sementara Dun Lunas ditawan oleh Dato’ Azman Nasrudin (PKR) dengan majoriti besar 13,813 undi.

Namun, Adun Lunas tersebut, yang juga dikenali sebagai Cikgu Azman telah meninggalkan parti menjadi Bebas dan kemudiannya menyertai parti Bersatu lalu dilantik sebagai Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Dalam PRU-15 bagi kerusi Padang Serai, Cikgu Azman bertanding mewakili PN akan menentang calon PH yang menggantikan Karupaiya, iaitu Mohamad Sofee Razak yang juga Setiausaha PH dan PKR Kedah. Pertarungan enam penjuru itu juga melibatkan calon lain iaitu Dato’ Sivaraj Chandran (BN), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK (Bebas).

Walaupun begitu, pencalonan baharu PH, Mohamad Sofee dikatakan menerima tentangan kepimpinan dan akar umbi cabang Padang Serai. Ini kerana beliau adalah calon luar yang diimport masuk daripada Kuala Ketil sedangkan cabang mempunyai calon lain.

Untuk rekod, Mohamad Sofee berasal daripada Tasek Gelugor, Pulau Pinang yang menjadi penyelaras PH Dun Kuala Ketil, Baling serta pernah menjadi calonnya dalam PRU-14 namun tewas dengan undi tercorot meraih 4,952 undi sahaja.

Majoriti besar serta sokongan menakjubkan terhadap PN agak mengerunkan PH, lantas dikatakan sebab kepimpinannya memilih calon luar, Mohamad Sofee walaupun dibantah oleh akar umbi.

Lokaliti Padang Serai yang dikelilingi oleh pelbagai parlimen yang kebanyakkannya dimenangi oleh PN dalam PRU-15 lalu memberi ketunjuk kepada kelebihan parti itu. Parlimen ini sempadannya melibatkan dua negeri, Kedah dan Pulau Pinang.

Di Kedah, sebahagian Parlimen Padang Serai disempadani oleh P.16 Baling (PN menang-majoriti 29,137) dan P.18 Kulim-Bandar Baharu (PN-13,061) sementara di Pulau Pinang disempadani oleh P.41 Kepala Batas (PN-2,867), P.42 Tasek Gelugor (PN-12,252) dan P.44 Permatang Pauh (PN-5,272)

Suruhanraya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh baharu iaitu pada 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian bagi P.17 Padang Serai. (Media Fastaqim)







........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo