NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perjanjian Kerajaan Anwar-Zahid kini dikenali Kerajaan Perpaduan?


Anwar dan Zahid Hamidi dipercayai sudah mencapai kata sepakat berhubung formula bagi pentadbiran negara yang menjanjikan untuk mengembalikan kestabilan dan perpaduan dalam negara.

Dilihat sebagai formula saling menguntungkan menerusi pembentukan kerajaan perpaduan yang menjadi pertimbangan kedua-dua pihak, mereka turut membuka pintu bagi parti lain khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk bersama.

Menurut sumber, pendekatan ke arah konsep 'Kerajaan Perpaduan Malaysia' baharu itu ialah mewujudkan kerajaan perpaduan disertai semua parti dan kekal sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Berdasarkan dokumen cadangan perjanjian 10 perkara oleh PH dan BN yang dilihat New Straits Times (NST), ia antara lain menyatakan:

* Kedua-dua pihak bersetuju kerajaan PH-BN akan dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia

* Komposisi kerajaan mempunyai wakil setiap parti yang akan memegang jawatan kanan selepas rundingan dimuktamadkan.

* Penggal Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum tamat tempoh lima tahun

* Kerajaan akan mengambil langkah perlu bagi memastikan dasar, program, pendirian dan hala tuju kerajaan, termasuk wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-Raja Melayu supaya tidak mengguris atau melanggar soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputera dan monarki.

* Jawatan Perdana Menteri dipegang Ahli Parlimen PH, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh pemimpin BN

* Portfolio utama iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan akan dirunding oleh Perdana Menteri dan Timbalannya supaya agihan berlaku secara adil dan saksama berdasarkan kesesuaian serta kepakaran masing-masing.

* PH dan BN akan bekerjasama membentuk kerajaan negeri Pahang dan Perak, dengan jawatan Menteri Besar dipegang oleh BN.

* Pengagihan jawatan dalam Kabinet dibuat berdasarkan peratusan Ahli Parlimen parti yang membentuk kerajaan.

* Pelantikan Ahli Parlimen BN dalam Kabinet mesti mendapat kelulusan Dewan Tertinggi gabungan itu.

* Pelantikan Ahli Dewan Negara, jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan penting lain dalam kerajaan mesti dimaklum serta dibincang bersama oleh Perdana Menteri dan Timbalannya.

Difahamkan, gabungan baharu yang sedang dibentuk itu optimis bahawa parti dalam blok Borneo akan menyertai kerajaan bagi mengukuhkan kehadirannya di Putrajaya, selain membantu pembinaan semula negara.

Sementara itu, sumber lain memberitahu, BN sudah menyatakan pendirian untuk bersama kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Mesej berkenaan disampaikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Seri Paduka ketika sesi menghadap di Istana Negara, pagi semalam.

Pagi semalam, Yang di-Pertuan Agong juga menerima menghadap pemimpin blok Borneo diketuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mendengar sendiri sama ada mereka menyokong PH atau PN.

Kelmarin, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata partinya menyokong pembentukan kerajaan campuran PH dan BN atas faktor memenangi kerusi terbanyak pada PRU15.

"Sokongan ini juga atas pemahaman kerajaan Persekutuan baharu akan menyelesaikan semua 21 tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963," katanya sambil berharap gabungan itu dapat membentuk kerajaan baharu untuk mengembalikan kestabilan politik dan perpaduan.

Dalam perkembangan terbaharu petang ini, beberapa pemimpin kanan BN dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan tertutup di sebuah hotel di sini, dipercayai bagi membincangkan tawaran gabungan diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Antara yang menghadiri pertemuan kira-kira dua jam itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob manakala PN diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber UMNO menyatakan, Dewan Tertinggi BN akan memutuskan sama ada bekerjasama dengan PH atau PN bagi membentuk kerajaan.

BN membentuk jawatankuasa tujuh anggota yang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup; Mohamad dan Ismail Sabri.

Hasil rundingan BN dengan kedua-dua gabungan itu dijangka dibentang oleh Mohamad pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini, disusuli kepada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, pagi esok sebelum pembentangan kepada 30 Ahli Parlimen BN.







Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo