NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan


KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 Nov selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan.

“Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

“Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” kata peguam itu.

Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo