NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengalaman berbeza bertanding guna logo PAS, kata Rosol


Pertama kali bertanding menggunakan logo PAS pada pilihan raya umum ke-15, 19 November ini memberi pengalaman berbeza buat Rosol Wahid.

Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu itu, berkata apa yang dirasainya ketika ini sama sekali tidak pernah dilaluinya ketika bertanding atas tiket Umno-BN sebelum ini.

"Mana-mana tempat saya pergi (kempen berjalan) lancar, terbaik dan ini pengalaman baru buat saya, yang saya rasa tak pernah dapat sewaktu zaman Umno sebelum ini.

"Satu benda yang di luar daripada jangkaan saya, semangatnya, sokongan dan sambutan yang diberi sangat luar biasa.

"Saya dah bertanding untuk kali kelima, kali ini sambutan yang diberikan kepada saya luar biasa," katanya ketika ditemui selepas Majlis Selawat dan Qasidah di Pondok Al-Abrar, Menerong, Ajil, Hulu Terengganu, hari ini.

Rosol berkata demikian mengulas keselesaannya bertanding menggunakan logo PAS pada PRU15 kali ini.

Rosol mula menjadi Adun Ajil pada 1999 dan menyandang kerusi itu sehingga 2013. Dia bagaimanapun keluar Umno untuk menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Pada PRU lalu, Rosol menang di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dengan majoriti 2,868 undi, menewaskan Muhyiddin Abdul Rashid dari PAS dan Razali Idris dari PH.

Pada PRU kali ini Rosol berdepan tiga pencabar iaitu calon BN, Rozi Mamat yang juga Adun Telemong, Alias Ismail (PH) dan Mohd Khadri Abdullah (Pejuang).

Ditanya mengenai pretasi bekas partinya iaitu Umno, Rosol enggan mengulas lanjut namun berpendapat sokongan kepada parti itu kini semakin merosot.

"Secara peribadi saya tak boleh komen, itu parti lain.

"Tapi apa yang saya nampak reputasinya semakin menurun dan kalau kita tengok data pengundian dari 2012 hingga 2014 memang jumlah undi popular mereka menurun dan sekarang ini saya yakin ia akan lebih menurun lagi dengan isu-isu di peringkat nasional dan isu-isu negeri pun banyak," katanya.

Jelas Rosol, ketika pentadbiran BN, banyak projek terbengkalai serta menjadi gajah putih dan ini berbeza dengan pencapaian kerajaan pimpinan PN.

"Projek-projek yang dibuat oleh kerajaan PAS siap pada masanya. Ada yang awal daripada yang dijadualkan pun. Jadi itu yang rakyat boleh menilai dan memerhati sekarang," katanya.

Sementara itu ditanya apakah isu lompat parti akan memberi kesan terhadapnya pada PRU kali ini, Rosol menafikannya.

Malah katanya, di kalangan ahli biasa Umno, mereka melihat dia telah melakukan tanggungawab sebagai wakil rakyat dengan baik.

"Melainkan, masa saya lompat dulu saya tak ambil kisah tentang rakyat, saya lari duduk di Kuala Lumpur, tapi sekarang tak ada isu.

"Sebab itu bila pihak lawan nak serang saya tak ada isu nak serang, hanya isu lompat saja," katanya.

‘Dulu saya naik bas dipandu pemandu mabuk’

Rosol juga menggunakan analogi pemandu bas bagi menjelaskan pendiriannya ketika memilih bertukar parti.

"Dulu saya naik sebuah bas yang dipandu oleh pemandu yang mabuk, jadi saya rasa tak selamat nak bersama dengan pemandu yang mabuk.

"Kita pun nasihatkan pemandu untuk tukar tetapi pemandu tak nak tukar, jadi bila pemandu tak nak tukar, daripada kita terjun ke dalam gaung bersama bas dan pemandu tersebut, adalah lebih baik kita keluar daripada bas tersebut dan pilih bas baru.

"Kalau kita duduk juga maknanya kita membawa kemudaratan untuk diri kita,” jelasnya.

Katanya, analogi pemandu mabuk yang dimaksudkan ialah pemimpin Umno iaitu bekas presiden Umno, Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi.

"(Zaman) Zahid ke Najib ke sama saja. Dia bagi isyarat masuk kanan tapi belok kiri, langgar lampu merah, langgar peraturan jalan raya.

"(Tapi) Setakat hari ini, bas ini (PN) alhamdulillah," tambahnya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo