NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penduduk Sunggai Buloh dalam deliman, Tak suka BN tapi suka KJ



SUNGAI BULOH: Dalam tempoh tinggal seminggu lagi sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15), segelintir pengundi di Sungai Buloh yang tidak menyukai Barisan Nasional (BN) kelihatan berada dalam dilema kerana mereka meminati calonnya, Khairy Jamaluddin.

Seorang pengundi, Mohd Zaidi, 33, berkata Khairy berpotensi untuk menang kerana dilihat seperti “selebriti” dan beliau sedang mempertimbangkan untuk mengundi bekas menteri kesihatan itu.

“Tetapi kami tidak suka ketuanya,” katanya kepada FMT, merujuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Jika Zahid lebih lantang menjelang hari pengundian, saya mungkin tidak akan undi Khairy.”

Zaidi berkata, segelintir pengundi berpegang kepada kata-kata Khairy bahawa undi untuk beliau ialah undi untuk Ismail Sabri Yaakob terus menjadi perdana menteri. Katanya, pengundi akan berasa dikhianati jika BN menang dan individu lain dilantik menjadi perdana menteri.

Seorang lagi penduduk, Radzee Abd Latif, berkata pilihan Pakatan Harapan (PH) untuk Sungai Buloh, R Ramanan menyukarkannya untuk memilih siapa yang akan diundi.

“Saya tidak kenal Ramanan,” kata pemandu berusia 42 tahun itu.

“Sekurang-kurangnya jika R Sivarasa (yang dicalonkan), beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dan (saya boleh buat) pilihan lebih jelas. Tetapi kini saya tidak tahu.”

Radzee berkata, pemilihan Khairy sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh akan menguntungkan kawasan itu, namun beliau sukar untuk membuat pilihan sama ada ingin mengundi BN. Jadi beliau akan menunggu sehingga tamat kempen untuk membuat keputusan, katanya.

Fezry Ayub, 34, berkata beliau akan menyokong Khairy kerana melihat bekas menteri kesihatan itu mempunyai ciri-ciri sebagai perdana menteri.

“Saya percaya kepadanya apabila beliau berkata akan menyokong Ismail sebagai perdana menteri,” katanya.

“Tetapi secara jujurnya, saya lebih suka jika Khairy memegang jawatan tertinggi itu. Beliau muda dan mempunyai banyak pengalaman dalam politik, sebab itu saya menyokongnya.”

Seorang lagi pengundi yang mahu dikenali sebagai Ramesh berkata, beliau boleh menerima Khairy tetapi bukan BN.

“Rekod prestasinya baik,” kata jurutera berusia 42 tahun itu.

“Saya masih percaya PH mempunyai peluang besar untuk menang, tetapi ia persaingan yang sukar memandangkan Khairy bertanding.”

Katanya, Ramanan perlu lebih mendedahkan dirinya untuk menarik hati pengundi.

Sungai Buloh menjadi kubu kuat PKR sejak Sivarasa memenangi kerusi itu pada 2008. Beliau berjaya mempertahankannya pada PRU 2013 dan 2018.

Calon lain di Sungai Buloh terdiri daripada Ghazali Hamin (Perikatan Nasional), Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua lagi calon bebas, Nurhaslinda Basri dan Syed Abdul Razak Long Alsagoff.

- FMT


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo