NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasca PRU15: Pas putuskan tidak akan sertai Kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR: Pas membuat keputusan hari ini tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan, demi menghormati kepercayaan dan mandat yang diamanahkan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

Sehubungan itu, parti itu mengisytiharkan akan terus berperanan sebagai pembangkang terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, Pas berpendirian tidak akan menyertai Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

"Ini demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya para pengundi yang telah memilih Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15," kata Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Justeru, katanya menerusi satu kenyataan, "Pas akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif dengan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar dan dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil."

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya kekal dengan pendirian tidak menyertai kerajaan yang diterajui PH, walaupun Anwar mempelawa gabungan itu menyertai pentadbirannya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas tawaran berkenaan namun menolaknya atas semangat menyuburkan demokrasi dan melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan dalam Parlimen.

Terdahulu, Takiyuddin mengeluarkan kenyataan bahawa Pas akur keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan sedia berbincang kemungkinan menyertai kerajaan perpaduan.

Katanya, Pas akan berbincang bersama rakan komponen PN berhubung tawaran Perdana Menteri untuk menyertai kerajaan perpaduan dan meninjau pandangan dan kesediaan rakyat yang telah memberikan undi memberangsangkan kepada Pas dan PN.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo