NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS jamin Sabah, S'wak - takkan laksana dasar menekan


Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memberi jaminan bahawa pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah yang menekan mana-mana pihak khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya ia menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan baru.

"PAS memberi jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar di kalangan parti-parti yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan kelak," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata PAS sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama dan mengakui hak dan kebebasan mereka mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.

"PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun.

"Justeru itu PAS menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS akan menggunakan kedudukan yang lebih dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak, apatah lagi di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani penghidupan yang harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.

"Malahan PAS amat tegas dalam mematuhi prinsip Islam iaitu ‘tiada paksaan dalam beragama’ dengan mana tidak boleh dipaksa seseorang bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kefahaman mereka sendiri," jelasnya lagi.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo