NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mohd Ridhwan tidak tumpang populariti bapa

Menurut Mohd Ridhwan, gerak kerja yang telah dilakukan di kawasan itu akan menjadi pertimbangan pengundi. - Astro AWANI

MELAKA: Bakal calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, meletakkan komitmen untuk merampas semula kerusi berkenaan tanpa menggunakan populariti bapanya sebagai indikator untuk menarik pengundi.
Anak sulung kepada Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebaliknya gerak kerja yang telah dilakukan di kawasan itu akan menjadi pertimbangan pengundi selain yakin rakyat di kawasan itu inginkan semula pemimpin yang boleh membela nasib mereka.
“Saya selalu dapat soalan (tumpang populariti) ini tetapi apabila pegang kepimpinan di Hang Tuah Jaya ini sejak tahun 2018 lalu, pelbagai gerak kerja yang saya laksanakan dan bina atas kapasiti saya sendiri dan saya tegaskan untuk bergerak bawa amndat rakyat ini bukan satu orang punya kerja.
“Saya percaya apa pencapaian dibuat kepimpinan lalu (termasuk bapa) saya sudah tentu menjadi kelebihan kepada pasukan UMNO dan BN di Hang Tuah Jaya ini, dan rekod pencapaian yang baik inilah yang akan kita gunakan sebagai bukti kepada rakyat bahawa kemampuan kita pernah sampai satu tahap yang membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat BN Parlimen Hang Tuah Jaya di sini, hari ini.
Semalam, Mohd Ridhwan membuat kejutan apabila namanya diumumkan sebagai calon di kerusi berkenaan memandangkan kerusi itu dikatakan akan diisi oleh Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Massila Kamalrudin.
Mohd Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya ketika ditanya berhubung pertukaran saat akhir itu mengakui terkejut apabila dihubungi oleh pucuk pimpinan pada lewat petang semalam dan menganggap tanggungjawab yang diberikan kepadanya adalah satu penghormatan daripada parti.
“Saya dimaklumkan pada lewat petang semalam iaitu satu jam sebelum pengumuman calon dan tentunya saya terkejut yang mana ketika itu semua kepimpinan sedang bergerak ke Pusat Dagangan Antarabangsa Kuala Lumpur (WTCKL) untuk pengumuman semua calon BN yang akan bertanding.
“Jadi apabila terima panggilan untuk jumpa presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) saya sudah agaklah ada sesuatu yang penting dan kemudian saya dimaklumkan bahawa saya akan dicalonkan,”ujarnya.
Parlimen Hang Tuah Jaya yang dahulunya pernah menjadi kubu kuat BN berjaya dimenangi oleh calon PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sejak dua penggal lalu termasuk menewaskan Tun Mohd Ali pada PRU14 lalu dengan majoriti 8,640 undi.
PH baru-baru ini menamakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim sebagai calon di kerusi berkenaan, manakala Perikatan Nasional (PN) pula sah akan mencalonkan Mohd Azrudin Md Idris.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo