NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Miskin Rupanya Umno Ini, Calon Pun Kutip Daripada Pas…


UMNO mempunyai ahli seramai 3.4 juta orang dan merupakan parti terbesar di negara ini.

Di dalamnya terkumpul segala macam jenis manusia – daripada cerdik pandai, usahawan, golongan kaya, ahli korporat, pendidik, agamawan, profesional dan pelbagai lagi.

Dalam mana-mana sektor di negara ini, boleh dikata pasti ada orang kuat UMNO di dalamnya.

Yang terbabit skandal dan nakal-nakal pun ada terselit sama di dalam UMNO.

Makna kata, untuk apa saja peranan yang diperlukan, tambahan lagi sebagai calon pilihan raya, UMNO pasti tiada masalah untuk mencari daripada kalangan ahlinya sendiri bagi memenuhi keperluan itu.

Malangnya, dalam PRU15 kali ini memperlihatkan UMNO sebenarnya sebuah parti yang tandus, miskin, gersang dan tidak berkeupayaan dalam memilih calonnya sendiri.

Ini kerana untuk mencari dua calon bagi kerusi Parlimen Tumpat di Kelantan dan Kuala Nerus di Terengganu, seolah-olah tiada yang layak untuk mengisinya daripada kalangan ahli UMNO sendiri.

Bagi kerusi Parlimen Tumpat, UMNO telah memilih penyandang Ahli Parlimen kawasan itu daripada Pas, Che Abdullah Mat Nawi sebagai calon BN bagi PRU15 ini.

Untuk kerusi Kuala Nerus pula, UMNO memilih Khairuddin Aman Razali, penyandangnya daripada Pas juga sebagai calon BN.

Che Abdullah boleh dikira sebagai “barang reject” berikutan namanya tidak dicalonkan lagi oleh Pas dalam PRU15 kali ini kerana gagal mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama parti itu.

Kalau tidak diluluskan oleh Majlis Syura Ulama Pas, ini bermakna beliau seorang calon yang bermasalah dan tidak melepasi kelayakan sepatutnya sebagai calon.

Tetapi UMNO telah mengutipnya dan menilainya sebagai calon yang boleh menang untuk mewakili BN?

Tak ke pelik namanya?

Begitu juga dengan Khairuddin di Kuala Nerus, beliau sudah lama diketepikan oleh Pas sehingga akhirnya beliau sendiri keluar daripada parti itu.

Sekali lagi, UMNO juga mengutipnya untuk dijadikan calon, kononnya beliau adalah calon boleh menang bagi BN.

Jika beliau pemimpin yang ada harga, sudah tentu Pas akan menjaga dan menatang beliau dengan baik.

Kalau parti lain mengutip bekas ahli UMNO untuk dijadikan calon mereka, ia barangkali tidaklah menghairankan kerana UMNO sebuah parti yang besar dan ada nama.

Macam bekas pemain daripada Real Madrid, tentulah tidak menghairankan jika ada kelab-kelab kecil ingin mengambil mereka sebagai pemainnya, tetapi tentulah nampak pelik jika Real Madrid mengutip pemain kelab di negara kita untuk dijadikan sebagai penyerangnya.

Dalam hal ini, apakah UMNO Tumpat dan Kuala Nerus begitu ketandusan dan miskin daripada kalangan ahlinya sendiri untuk dipilih sebagai calon mewakili BN?

Tiadakah yang berkebolehan dan cerdik pandai daripada kedua-dua UMNO bahagian itu?

Lebih daripada itu, kalau tiada calon daripada UMNO Bahagian Tumpat dan Kuala Nerus, apakah tiada langsung daripada seluruh Kelantan dan Terengganu yang boleh dlketengahkan sebagai calon?

Jika UMNO boleh meletakkan calon-calon luar di beberapa kawasan lain dalam PRU15 kali ini, katalah jika tiada calon daripada bahagian Tumpat dan Kuala Nerus serta negeri Kelantan dan Terengganu yang layak untuk diketengahkan, tidak bolehkah diletakkan calon UMNO daripada negeri-negeri yang lain?

Kenapa UMNO mesti mengambil daripada Pas sebagai calon mereka?

Apakah meletakkan calon ahli UMNO sendiri ternampak begitu hina daripada mengutip “barang reject” dan “barang tak berapa laku” daripada Pas untuk dijadikan calon BN?

Apa yang berlaku di Tumpat dan Kuala Nerus ini sebenarnya tidak pernah berlaku dalam mana-mana era kepimpinan UMNO sebelum ini.

Miskin sungguh UMNO di era Zahid Hamidi ini rupanya….

Shahbudin Husin



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo