NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Laknat bagi pelanggar baiah

Pada PRU lalu, saya berpeluang masuk ke dalam majlis baiah calon-calon PAS yang bertanding mewakili PAS Negeri Terengganu sebagai jurugambar. Mereka wajib membawa pasangan masing-masing sebagai saksi kepada lafaz sumpah mereka untuk tidak berlaku khianat. 

Semua, termasuk Presiden PAS, melakukan baiah di hadapan pimpinan PAS Negeri.

Kelihatan beberapa orang calon baharu yang agak gementar, juga kepada yang sudah lama kerana mereka sedar akan kesan dan akibat daripada perlanggaran ucapan baiah mereka itu, adalah laknat dari Allah dan mereka yang melaknat. Semua menjadi serius kerana perkara ini bukan mainan atau gurauan.

Dengan menggunakan nama Allah sebagai taruhan kepada kesetiaan calon kepada perjuangan agama ini, maka tiada siapa yang sepatutnya berani melakukan onar terhadap jemaah. Semua pihak, sebaliknya akan memberikan usaha yang maksima bagi memenangkan PAS di tempat masing-masing.

Tiada paksaan, semua itu, mesti keluar dari hati mereka yang suci bersih, ikhlas kepada Allah. Kemudiannya, saksi kepada pertuturan itu, adalah pasangan mereka. Memberatkan lagi jiwa mereka untuk tidak menggelincirkan diri mereka dari perjuangan. Bergeraklah mereka ke gerbang jasa, tanpa memikirkan kalah menang, tetapi usaha yang telah diberikan, moga Allah meredainya.

Dahulu baiah ini bagaikan satu rahsia kepada orang awam, mahupun ahli PAS yang biasa. Tetapi setelah isu baiah ini didedahkan oleh oleh sekumpulan pimpinan PAS yang sering cuba menjatuhkan PAS di Selangor iaitu penambahan lafaz taqlid cerai, melalui rakaman audio, maka ia menjadi tular. Sebahagian manusia yang tidak tahu cerita, terus melabelkan PAS sebagai penunggang agama.

Agamawan dari pihak lawan, mula menyerang PAS dengan mengeluarkan hukum yang ia tidak sepatutnya berlaku. Segala yang negatif, mereka letakkan kepada PAS atas baiah ini. Sehinggakan almarhum Tuan Guru Nik Aziz juga terpalit dengan isu ini, kerana beliau juga membuat tambahan dalam baiah itu dengan jatuh talak. Sedangkan dalam jemaah mereka pula selalu berlaku paling tadah.

Tujuan pembongkaran itu, berkemungkinan memberi tekanan kepada pimpinan PAS agar melupuskan majlis baiah itu. Ia akan memudahkan khianat mereka kepada PAS diteruskan. Kesan kepada lafaz baiah itu, sedikit sebanyak terlekat dalam hati mereka, kerana itu mereka kurang selesa. Disebabkan itulah mereka terpaksa membayar juga kafarah selepas mereka meninggalkan perjuangan PAS, atau lebih mudah kita sebut khianat dengan melarikan kerusi PAS.

Bolehkah anda bayangkan jika penjahat dalam PAS juga terasa takut dengan membayar juga kafarah selepas keluar PAS, walau tidak sebagaimana sepatutnya kafarah itu dibayar, apalagi calon PAS yang baik. Pastinya mereka lebih takut lagi dalam menjaga amanah yang telah diberikan rakyat, bagi mereka memimpin masyarakat.

Dan wakil rakyat PAS telah membuktikan bahawa mereka begitu komited, memegang amanah, kepercayaan rakyat dengan jujur dan ikhlas apabila baiah yang mengandungi sumpah dengan nama Allah itu mereka faham yang mereka wajib melaksanakan amanah. Ia berlaku di seluruh Malaysia.

Maka lahirlah pimpinan rakyat yang bersih, stabil, berintegriti, jujur dan ikhlas daripada PAS. Dan sekaligus PAS sering dijenamakan dengan kebaikan dan agama. Musuh akan memarahi PAS jika berlaku perkara yang menyelisihi kehendak agama. Kata-kata seperti inikah yang Islam mahu? Islam mengajar beginikah? Yang padahal maksud tersirat ia satu penghargaan kepada PAS. PAS diberikan penghormatan kerana selalu menjaga agama.

Sehingga kini calon-calon PAS diyakini tidak pecah amanah mahupun berkhianat. Mereka ada di hati rakyat yang cintakan kejujuran dalam pemerintahan. PAS ketika mendapat kuasa, terbukti telah melakukan yang terbaik kepada rakyat. Mereka akan dikenang dengan kebaikan ini dan sekali lagi, ia adalah hasil dari ikatan agama.

Sementara pimpinan PAS yang berkhianat, akan kekal diingati sebagai pengkhianat. Diam-diam, mereka akan dilayan musuh PAS seperti penjahat, diguna hanya untuk membantu gerakan musuh dan akan dibuang setelah musuh berjaya mencapai kehendak mereka. Kata musuh, sedangkan kawan baik engkau sendiri engkau khianati, apalagi aku yang baharu kau kenal. Pengkhianat akan kerugian dunia dan akhirat.

Jelas, tindakan PAS mewajibkan baiah keatas calon-calon mereka itu kini diikuti oleh parti lain. Sayangnya kerana mereka tiada kepercayaan yang kukuh kepada Allah, maka mereka hanya membuat akujanji yang mempertaruhkan wang jutaan ringgit. Mereka lebih mengira untung rugi dunia, sedangkan PAS mengira dosa pahala akhirat, kerana begitu yakin dengan janji Allah. Dan musuh PAS, tanpa malu, mengaku mereka juga memperjuangkan Islam.

#BersihdanStabil
#PerikatanNasional

Mohd Nasir Abdullah
6 November 2022

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo