NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KJ dengan cita-citanya


Berkata kawan lama saya, bekas wartawan akhbar pro-Umno, kalau kerusi Parlimen Sungai Buloh senang untuk dimenangi BN, elok Tok Mat saja bertanding disana. “Buat apa kacau KJ?” tanya kawan saya.

Sebenarnya kawan saya berkata demikian dalam loghat Nogori walaupun beliau bukan orang Negeri Sembilan. Nyata beliau tujukan kata-kata itu kepada Mohamad Hasan, orang Negeri Sembilan, yang menjadi timbalan presiden Umno. Tok Mat sebelum ini dilapor berkata Sungai Buloh kerusi selamat untuk ditandingi bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin pada PRU15.

Khairy atau dikenali sebagai KJ dilihat tidak sehaluan dengan Zahid Hamidi, presiden partinya. Ini bukan rahsia malah Khairy sendiri memberitahu khalayak beliau bukan “kesayangan” Zahid kerana “saya bukan ‘yes man’”. Begitu dilaporkan FMT pada 10 November lalu.

Tetapi tidak seperti pemimpin lain dalam Umno yang dilihat tidak sebulu dengan presiden dan dikatakan penyokong setia Ismail Sabri Yaakob, Khairy dikekalkan sebagai calon BN. Ramai berpendapat Khairy nama yang “terlalu” besar untuk digugurkan Umno. Jika digugurkan juga parti lawan yang akan mendapat manfaat. Ada betulnya pendapat itu, pada hemat saya.

Lalu seperti kita semua tahu beliau dihantar ke Sungai Buloh. Lantas timbul dakwaan Khairy ke Sungai Buloh untuk dikalahkan lawan. Atau “send to lose”.

Maka terpanggillah Tok Mat berkata apa yang beliau kata, yakni Sungai Buloh selamat dan Khairy dihantar ke sana bukan kerana Umno nak ‘bunuh’ KJ. Dalam erti kata lain, maksud Mohamad ialah langkah menghantar Khairy bukan bertujuan menamatkan kerjaya politik menantu Pak Lah itu.

Maka terpanggil juga kawan lama saya yang disebut tadi untuk berkata pula apa yang beliau kata, iaitu elok Tok Mat sahaja bertanding di Sungai Buloh kerana ia kerusi selamat. Kawan saya itu bertanya mengapa Khairy diarah keluar dari Rembau untuk memberi laluan kepada Mohamad, di kerusi yang Khairy duduki sejak PRU12.

Bagi Khairy, kerusi Sungai Buloh bukan kawasan selamat tetapi bahaya yang menakutkan semua pemimpin BN. Sebaliknya beliau menyifatkan kerusi Rembau yang paling selamat di mana Khairy menang tiga penggal berturut-turut, walaupun berlaku “tsunami politik” dua kali iaitu pada 2008 dan 2018.

Bagaimanapun ada pemerhati politik berpandangan Khairy “in the first place tidak sepatutnya bertanding di Rembau kerana mengikut tradisi calon pilihan raya daripada Umno ialah ketua bahagian”. Mohamad ketua Umno bahagian Rembau manakala Khairy timbalannya.

Namun kata mereka, mungkin suatu ‘persetujuan’ pernah dicapai antara Mohamad dengan Abdullah Ahmad Badawi semasa Abdullah memegang jawatan perdana menteri, presiden Umno, juga pengerusi BN.

Persetujuan itu (jika benar wujud) membolehkan Khairy bertanding Parlimen Rembau dan Mohamad pula kekal di DUN Rantau yang pertama kali beliau menang pada PRU11. Kejayaan Mohamad berturut-turut di Rantau menyaksikan beliau menjadi menteri besar sehingga BN tumbang pada PRU14. Khairy pula menang berturut-turut hingga PRU14.

Saya berpendapat jika Khairy menang Sungai Buloh, Umno akan berkata “Alhamdulilah, syukur kami dapat satu kerusi.” Jika beliau kalah, berkatalah mereka “jika kamu tidak ada dalam perancangan kami (andai BN menang PRU15), jangan salahkan kami kerana kamu yang tidak boleh menang.”

Apa pun, kata Zahid, tiada siapa yang paksa Khairi bertanding di Sungai Buloh. Malah menurut beliau, KJ yang memilih untuk bertanding di sana. Bagaimanapun Khairy lain ceritanya.

Menurut Khairy, setelah diminta pimpinan parti untuk keluar dari Rembau, beliau menunggu isyarat daripada parti tetapi “saya ditinggal begitu sahaja.”

Lalu beliau ambil inisiatif mencari kawasan untuk ditandingi dan oleh kerana “tiada banyak kerusi (yang belum ‘berpunya’), hanya dua, tiga yang tinggal ketika itu, jadi saya kata ‘tak apalah, saya pilih Sungai Buloh’. Bukan dari awal saya pilih (untuk bertanding di kawasan itu).”

Pemerhati politik melihat peluang Khairy menang di Sungai Buloh cerah. Bagaimanapun ramalan itu tidak menghalang beliau berkempen keras. Pada satu ceramah beberapa hari lalu, Khairy beritahu pengundi beliau perlu menang Sungai Buloh dahulu untuk merealisasikan hasrat menjadi perdana menteri.

“Saya dah sedia tetapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu. Jika orang Sungai Buloh sokong saya, boleh maklumkan kepada orang parti saya datang ke ‘kandang naga’,” kata beliau seperti dipetik FMT.

Khairy mengakui tidak pernah bercakap mengenai hasratnya secara lantang, kerana “kalau cakap itu semua Majlis Kerja Tertinggi (Umno) nak kerat saya”.

Pendedahan akan ‘dikerat’ MKT Umno dan beliau ‘bukan kesayangan’ Zahid mengesahkan apa yang ramai percaya bahawa Khairy punyai musuh dalaman yang berkuasa dan tidak sehaluan.

Pun begitu, menjauhi pemimpin parti yang tercalar dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa boleh membawa sokongan pihak di luar Umno – kumpulan rakyat biasa yang “neutral”. Namun Khairy terus beranggapan beliau berada dalam parti yang betul atau “I’m in the right party,” katanya.

Pada masa sama, Khairy menegaskan beliau mahu jadi perdana menteri tetapi hanya suatu hari nanti dan bukan sekarang, kerana “sekarang jika BN menang Ismail Sabri Yaakob akan jadi perdana menteri.”

Bagi Zahid, cita-cita Khairy untuk jadi perdana menteri bergantung kepada PRU ini. Tidak ada huraian. Reaksi Ismail pula seperti dijangka. Beliau menyifatkan Khairy sebagai layak, mempunyai kredibiliti untuk menerajui negara “pada masa akan datang.”

Kata kunci: “Masa akan datang”.

Berkata pula seorang bekas aktivis Umno yang masih mengikuti perkembangan parti: “KJ cakap berlapik tu. Pemilihan Umno selepas PRU.” Tidak ada penjelasan lanjut. Saya pun tidak meminta kerana tahu jika minta pun tidak akan diberikannya. Buat masa ini.

 
MOHSIN ABDULLAH



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo