NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keyakinan pelabur goyah, Ringgit susut hampir 0.7 peratus pagi ini


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus menyusut berbanding dolar AS pada sesi pembukaan dagangan pagi Isnin.

Keyakinan pelabur agak goyah apabila Malaysia buat kali pertama berdepan situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai sebanyak 290 mata asas (bps) kepada 4.5780/5880 berbanding dolar AS daripada penutup 4.5490/5565 pada Khamis.

Pada jam 10.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.58 berbanding dolar AS, susut 0.66 peratus.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu lepas untuk membolehkan pengundi mengundi pada PRU15.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berpendapat pasaran akan mengambil keputusan pilihan raya umum itu dengan tenang memandangkan kerajaan yang tergantung itu sudahpun dijangkakan.

PRU15, pilihan raya umum paling sengit yang pernah dihadapi negara, telah berakhir dengan parlimen tergantung tanpa mana-mana parti memperoleh majoriti jelas untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baharu.

Sementara itu, Innes berkata pelabur turut mengabaikan kecenderungan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang lebih kepada menaikkan kadar faedah dan terus memberi tumpuan kepada China yang dikatakan akan membuka semula sempadan dan ini seharusnya menguntungkan pasaran modal tempatan.

"Selain itu, sebarang kelemahan dalam Indeks Dolar AS (DXY) boleh mendorong pengeksport mengurangkan pegangan dolar AS terkumpul mereka dan menjadi pemacu kepada kekuatan ringgit," katanya.

Ambank Research pula berkata fokus minggu ini adalah pada minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang prospek kadar faedah.

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit didagangkan antara tahap sokongan 4.550 dan 4.560 manakala rintangan pada 4.600 dan 4.610," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain pagi ini.

Mata wang tempatan itu menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3280/3358 daripada 3.3091/3150 pada penutup Khamis, lebih rendah berbanding euro pada 4.7222/7325 daripada 4.7146/7224, lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2628/2701 daripada dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4323/4441 daripada 5.4069/4159 sebelumnya. – Bernama




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo