NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kemelut penubuhan kerajaan Persekutuan dijangka selesai hari ini


KUALA LUMPUR:
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu yang berakhir dengan Parlimen tergantung, dijangka menemui penyelesaian beberapa jam lagi.

Ini berikutan beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dikatakan bertemu kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn di sini, pagi ini.

Pertemuan itu dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama di antara kedua-dua gabungan itu, dengan Ahli Parlimen BN akan menandatangani akuan bersumpah menyokong PH membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Sifir pembentukan kerajaan baharu itu dipercayai menggabungkan 82 kerusi dimenangi PH bersama 26 daripada 30 wakil BN, diikuti Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia, masing-masing satu kerusi.

Desas-desus itu bertiup kencang selepas kepemimpinan BN dan PH berbincang di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Pertemuan semalam dikatakan gagal mencapai kata sepakat selepas beberapa wakil rakyat dari BN menentang kerjasama berkenaan.

Tentangan itu disuarakan Bendahari Agung BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

Pertemuan BN dan PH mengejutkan banyak pihak, disifatkan simbolik bagi penjajaran baharu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas pertemuan itu berkata, BN akan mengemuka akuan bersumpah mewakili Ahli Parlimen gabungan itu bagi menamakan calon perdana menteri kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau berkata, 26 daripada 30 yang memenangi PRU15 akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

Antara pemimpin yang turut menyertai sidang media itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang medianya mengesahkan berunding dengan tujuh wakil BN bagi mewujudkan kerajaan perpaduan yang stabil.

Presiden PKR itu mengakui berpuas hati dalam rundingan yang membincangkan keperluan mewujudkan kerajaan perpaduan, bersifat inklusif, selain menyelesaikan soal ekonomi.

Anwar dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 2 petang ini.

Teka-teki penjajaran baharu BN-PH itu dikuatkan lagi susulan pembentukan kerajaan Perak yang menyaksikan pimpinan kedua-dua gabungan di peringkat negeri bersetuju menjalinkan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah mengangkat sumpah bagi jawatan Menteri Besar Perak yang baharu, biarpun gabungan itu hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penjajaran sama juga dijangka berlaku di Pahang apabila Pengerusi DAP negeri, Leong Ngah Ngah mengesahkan PH bersetuju bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas PRU15.

Al-Sultan Abdullah bertemu petugas media di depan pintu Istana Negara semalam. - Foto hiasan EPA
Al-Sultan Abdullah bertemu petugas media di depan pintu Istana Negara semalam. - Foto hiasan EPA




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo