NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jalaluddin tak tandatangan SD


KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaludin Alias mengesahkan beliau belum menghantar sebarang surat akuan (SD) menyokong mana-mana individu sebagai calon Perdana Menteri Ke-10.

Ketua UMNO Bahagian Jelebu itu yang berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, berkata beliau menunggu keputusan mesyuarat Barisan Nasional (BN).

Mesyuarat berkenaan dijangka memutuskan sama ada BN menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) atau berperanan sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.

"Sebagai individu, saya tidak menghantar sebarang sokongan, saya menunggu keputusan mesyuarat parti (BN), apa hala tuju selepas ini," katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi.

Pembentukan keraajan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 dijangka diputuskan hari ini, terarah kepada Pengerusi PH, Anwar dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk BN yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Semalam, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melanjutkan tempoh masa selama 24 jam lagi kepada parti politik untuk membentuk kerajaan yang sepatutnya sehingga jam 2 petang semalam.

Selaras lanjutan itu, parti politik memiliki lebih masa untuk merundingi pembentukan kerajaan pasca PRU15, sekali gus menamakan seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10.

Pertemuan Ahli Parlimen BN dan PH semalam menemui jalan buntu selepas tiada sebarang SD ditandatangani bagi menyokong pencalonan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Perbincangan dan pertemuan diteruskan pagi ini dengan Ahli-ahli Parlimen BN dilaporkan masih bermesyuarat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Ketika usaha digiatkan pemimpin tertentu dalam BN supaya gabungan PH dan BN direalisasikan, wujud protes dari kalangan Ahli Parlimen gabungan itu sendiri yang menentang usaha itu.

Selain Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin lain yang dikatakan turut menentang usaha menggabungkan BN dan PH adalah Bendahari BN yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo