NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu isytihar harta : PH berbeza pendirian, DAP tolak sekeras-kerasnya

Setakat ini, tiga parti telah menerbitkan pengisytiharan aset melibatkan lebih 70 calon - situasi yang tidak pernah berlaku dalam pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Dalam PRU sebelum ini, hanya calon PSM yang berbuat demikian tetapi kali ini, kebanyakan calon PKR turut berbuat demikian.

Muda turut melakukan perkara sama semalam apabila presidennya Syed Saddiq Abdul Rahman mengisytiharkan asetnya sebanyak RM1.91 juta dan berkata calon lain parti mereka akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

Perkembangan ini sekali gus menjadi agenda kempen, dengan banyak pihak terpaksa menyatakan pendirian mereka mengenai pengisytiharan aset.

Parti komponen PH berbeza pandangan

Sekutu PKR dalam PH dilihat mengambil pendirian berbeza.

Meskipun mengisytiharkan harta sendiri sebanyak RM2.45 juta semalam, Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof berkata parti itu menyerahkan kepada calonnya untuk memutuskan perkara berkenaan.

Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof

Dia berkata semua calon telah mengisytiharkan harta mereka kepada parti.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula berkata calon DAP hanya perlu membuat pengisytiharan harta jika mereka menang dalam pilihan raya.

PN, BN kata ia tidak perlu

PAS yang merupakan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) berkata langkah itu tidak perlu kerana ia boleh membawa kepada implikasi negatif.

Naib presiden parti itu, Mohd Amar Nik Abdullah berkata bahawa pemimpin parti mereka tidak kaya dan dengan itu malu untuk mengisytiharkan harta yang mereka ada.

Parti lain dalam PN berkongsi pendirian yang sama.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Azmin Ali menolak pengisytiharan aset untuk calon dan menyifatkannya sebagai "sandiwara".

Calon BN Sungai Buloh Khairy Jamaluddin juga berkata adalah tidak perlu bagi calon untuk mengisytiharkan harta secara terbuka, dan ia hanya perlu dilakukan jika seseorang itu dilantik ke jawatan awam.

MIC, MCA, Gerakan, Warisan, PBM, Pejuang dan sekutunya dalam Gerakan Tanah Air yang lain, PRM dan parti Sarawak setakat ini tidak bercakap mengenai perkara itu.

Memastikan wakil rakyat bertanggungjawab

Terdahulu, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata partinya mempelopori langkah itu di Malaysia beberapa pilihan raya sebelum ini lagi bagi memastikan akauntabiliti.

Dia berkata dengan mengisytiharkan harta mereka sebelum pengundian, wakil rakyat boleh disoal oleh orang ramai jika kekayaan mereka dilihat meningkat dengan kadar tidak munasabah sebaik sahaja dipilih.

Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj

Pengisytiharan aset untuk ahli parlimen juga dilakukan ketika pentadbiran PH, walaupun ia juga dikritik kerana tidak dilaksanakan dengan baik.

Namun, pengisytiharan harta pada 2018 telah dirujuk untuk membuat perbandingan dengan pengisytiharan terbaru yang dibuat oleh calon PRU.

Di media sosial, ada yang mempersoalkan bagaimana Syed Saddiq, 29, meningkatkan aset bersihnya daripada RM723, 312.75 ketika dipilih pada 2018 kepada RM1.91 juta semalam.

Aset tersebut termasuk dua hartanah yang dibeli secara pinjaman.

Syed Saddiq, yang menjadi menteri belia dan sukan selama 22 bulan, berdepan pertuduhan rasuah lebih RM1.12 juta dana parti ketika menjadi ketua pemuda Bersatu.

Timbalan presiden PKR Rafizi Ramli juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selepas sebuah NGO membuat laporan mengenai asetnya bernilai RM18.85 juta, yang kebanyakannya adalah saham dalam syarikat analisis data yang diasaskannya, Invoke.

Dia dikritik kerana didakwa mengumpul kekayaan melalui derma awam kepada syarikat bukan berasaskan keuntungan, tetapi menjelaskan semua derma telah dibelanjakan semasa kempen PRU14, yang mana selepas itu Invoke menjadi entiti komersial yang berasas keuntungan dan sahamnya dijual kepada pelabur.

Sumber | Mkini


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo