NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fathin Amelina jawab komen 'she's nothing' Shahidan


ARAU:
Calon muda PKR yang bakal menentang 'orang lama' UMNO di kerusi Parlimen Arau, Fathin Amelina Fazlie menganggap kritikan 'she's nothing' yang dilemparkan oleh penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Shahidan Kassim kepadanya adalah 'asam garam' Pilihan Raya Umum (PRU) dan harus dianggap sebagai cabaran dalam politik.

Gadis berusia 28 tahun yang juga penuntut Doktor Falsafah Kedoktoran (PhD) di Universiti Malaya itu melihat segala kritikan itu adalah biasa baginya yang cuba mencipta sejarah baru dalam politik tanah air.

"Saya rasa macam benda itu (kritikan) biasalah di mana setiap orang akan mempertikaikan kredibiliti orang muda (bertanding calon PRU).

"Jadi saya anggap itu sebagai cabaranlah kepada diri saya kerana sebagai orang muda, saya harus terima kritikan dan 'complain' daripada setiap orang namun kerja tetap harus dijalankan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Shahidan ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Gerak Kerja Jentera Jalinan Rakyat (JR) PRU15 di Dewan Sivik Arau menganggap Fathin sebagai 'bukan sesiapa' atau 'she is nothing' disebabkan tidak dikenali dan tidak memberi sumbangan kepada penduduk di Parlimen Arau.

Ditanya mengenai usahanya untuk meraih undi masyarakat di parlimen itu kerana kerusi Parlimen Arau sejak bertahun lamanya sudah didominasi oleh Barisan Nasional (BN) menerusi Shahidan, beliau menyatakan bahawa selain mendekati pengundi 'atas pagar', beliau melihat faktor undi anak muda bakal menjadi penentu kepada bukan sahaja politik di Parlimen Arau tetapi di seluruh negara.

"Sekiranya penyandang kerusi ini terpilih untuk dicalonkan juga maka ia akan menjadi satu tugas terbesar buat saya namun pada waktu ini kita melihat kepada fenomena #Undi18 jadi disebabkan ini saya rasa optimis untuk bertanding di Arau dan melihat anak muda di parlimen ini adalah sasaran utama dalam kempen kami.

"Selain itu juga, di Perlis sahaja, kita mempunyai lebih kurang 70 peratus orang muda yang akan menjadi pengundi di negeri ini antara usia 18 hingga 40 tahun namun buat masa ini saya optimis terhadap kemungkinan ini," katanya.

Fathin berkata, pada masa yang sama juga beliau akan juga memberi perhatian kepada kempen menerusi media sosial selain bertemu pengundi parlimen itu menerusi lawatan rumah ke rumah yang dilakukan bersama jentera Pakatan Harapan (PH) Arau dan Perlis.

"Jentera kami dari PH Arau dan Perlis pun sudah bermula seperti hari ini, saya mulai mendekati pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat jadi ia akan dilanjutkan sehingga PRU nanti.

"Sudah tentu pendekatan kali ini, kita terus memberi perhatian sepenuhnya kepada kempen menerusi media sosial selain bertemu pengundi rumah ke rumah," katanya.

Fathin berkata, meskipun ramai mendakwa beliau sebagai 'calon luar' atau 'calon payung terjun', beliau menjelaskan sudah menetap dan bermastautin di Perlis lebih 10 tahun lalu.

"Walaupun saya lahir di Sabah, saya sudah bermastautin di Kuala Perlis lebih 10 tahun lalu.

"Malah, bapa saya juga adalah anak jati Perlis jadi tiada masalah untuk saya menjiwai dan mendalami denyut nadi orang Perlis," katanya.

Dari segi latar pendidikan, Fathin yang juga Pengarah Komunikasi PKR Cabang Padang Besar mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perancangan dan Pembangunan dengan Kepujian dari Universiti Malaysia Sabah.

Selain itu juga, beliau turut memperoleh Ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya dan sedang berada dalam pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Sosial Sains) dalam universiti yang sama.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo