ARAU: Tindakan meletakkan calon 'payung terjun' bukan hanya memperjudikan nasib parti, malah berisiko merosakkan peluang UMNO untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) .
Perkara itu dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang menegaskan pihaknya menolak sama sekali kemasukan individu dari luar sebagai calon untuk bertanding di mana-mana di kawasan di Arau pada PRU15.
Beliau berkata, perkara ini harus dilihat secara serius kerana penamaan sesuatu calon itu perlulah melihatnya dari kriteria calon boleh menang dan bukannya calon 'payung terjun' yang tidak dikenali pengundi di kawasan itu.
"Bahayanya ada calon 'payung terjun' ini akan menyebabkan kita tidak boleh menang dan jika kita menang pun, majoritinya hanya sedikit dan tipis.
"Jadi dalam soal ini untuk meletakkan sesuatu calon itu perlulah melihat bahawa calon itu adalah calon boleh menang atau tidak," katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama UMNO Bahagian Arau di sini, semalam.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan kriteria WALI merujuk kepada 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' diterima dan 'likeable' disukai akan diambil kira parti dalam menentukan calon PRU15.
Dalam pada itu, Shahidan yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau berkata, di peringkat bahagian pihaknya mencadangkan banyak dalam kategori boleh menang untuk PRU15 untuk dipertimbangkan kepemimpinan parti.
"Saya percaya UMNO Pusat khususnya lima kepimpinan tertinggi UMNO atau 'Top 5' sentiasa memikirkan langkah yang mampu memberikan kemenangan kepada parti itu terutama di Parlimen Arau," katanya.
Terdahulu, Shahidan menyampaikan taklimat PRU kepada hampir 1,000
ahli dan jentera UMNO Bahagian Arau dan berharap jentera parti di
peringkat cawangan dapat meneruskan kerja kuat dalam mendekati pengundi
khususnya dalam memberikan maklumat tepat mengenai usaha dilakukan
kerajaan.
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment