NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dihalang berarak ke Parlimen, Badan Peguam fail tuntutan pada polis


Badan Peguam Malaysia memohon perintah mahkamah agar polis membayar ganti rugi kerana menghalang peguam yang menyertai Walk for Judicial Independence (WFJI) pada 17 Jun lalu, daripada berarak ke Parlimen.

Badan itu juga meminta beberapa pengisytiharan mahkamah yang lain, antaranya bahawa pihak berkuasa melanggar hak asasi untuk berhimpun secara aman.

Ini adalah antara relif yang dimohon Badan Peguam dalam saman tuntutannya terhadap tindakan polis menghalang perarakan tersebut yang bertujuan membangkitkan isu siasatan SPRM terhadap hakim dalam kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Hakim yang mendengar perbicaraan itu alah bekas hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Mohd Nazlan kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, susulan gagal berarak dari Padang Merbok ke bangunan Parlimen, Presiden Badan Peguam Karen Cheah berkata pihaknya sedang mengumpulkan bukti sebagai persediaan untuk memfailkan tindakan undang-undang ke atas pihak berkuasa.

Menurut salinan yang dilihat oleh Malaysiakini, writ saman itu difailkan oleh firma guaman AmerBON di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Oktober lalu.

Salinan mahkamah itu menyenaraikan Badan Peguam, Cheah, naib presiden Mohamad Ezri Abdul Wahab, setiausaha Anand Raj Balasubramaniam, dan bendahari Murshidah Mustafa sebagai plaintif pertama hingga kelima.

Dokumen itu juga menamakan Ketua Polis Daerah Dang Wang Noor Dellhan Yahaya, ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD itu Nuzulan Mohd Din, PDRM, ketua polis negara (yang tidak dinamakan), menteri dalam negeri (yang tidak dinamakan), dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga keenam.

Melalui pernyataan tuntutan yang difailkan, plaintif berhujahdefendan melanggar hak asasi mereka untuk kebebasan peribadi, kesaksamaan di sisi undang-undang, kebebasan bergerak, dan kebebasan berhimpun yang termaktub di bawah Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif mendakwa defendan melakukan penahanan salah terhadap mereka dengan menghalang mereka daripada berarak dari tempat letak kereta Padang Merbok ke pintu masuk utama bangunan Parlimen pada 17 Jun lalu.

Plaintif juga menyatakan bahawa antara 3 dan 7 Jun, polis enggan menerima usaha mereka untuk menyerahkan notis untuk perhimpunan, mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

Plaintif mendakwa alasan yang diberikan IPD Dang Wangi ialah notis itu tidak lengkap kerana ia perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan surat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, kata plaintif, seksyen 9(1) akta itu tidak menyatakan keperluan sedemikian.

Mereka mendakwa dua hari sebelum perhimpunan, Anand Raj dan empat ahli sekretariat badan peguam telah menghadiri pertemuan dengan Noor Dellhan, di mana beberapa syarat telah ditetapkan untuk perhimpunan itu.

Plaintif mendakwa Noor Dellhan berkata perarakan ke Parlimen tidak dibenarkan atas beberapa sebab, antaranya ada kumpulan lain yang merancang untuk berhimpun pada hari yang sama; terdapat bantahan daripada tiga pihak berkepentingan; dan hari perhimpunan adalah hari Jumaat yang merupakan hari bekerja dan perarakan sedemikian akan mengganggu lalu lintas.

Mereka mendakwa walaupun mereka membantah larangan perarakan itu, Noor Dellhan menjawab bahawa syarat telah ditetapkan "di bawah arahan pihak atasan".

Plaintif berhujah pada hari kejadian, antara 7.45 pagi dan 10 pagi, Cheah serta plaintif ketiga hingga kelima bersama 500 peguam dan pelatih-pelatih dalam kamar berhimpun secara aman di Padang Merbok dengan rancangan untuk berarak ke Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada perdana menteri atau wakilnya.

Plaintif berhujah bahawa selepas ucapan diberikan, para peserta cuba untuk berarak ke Parlimen tetapi dihalang oleh penghadang plastik serta oleh pegawai polis di situ, di mana salah seorang pegawai menyatakan bahawa perarakan tidak dibenarkan mengikut syarat yang telah diberikan sebelum ini untuk perhimpunan.

Plaintif mendakwa mereka cuba berunding dengan polis untuk meneruskan perarakan tetapi tidak berjaya, berikutan syarat yang disifatkan sebagai tidak munasabah iaitu hanya 30 peserta dibenarkan berarak ke parlimen.

Plaintif berhujah mereka kemudian menukar laluan dan cuba berarak menggunakan laluan keluar masuk kenderaan di Padang Merbok.

“Namun begitu, pegawai polis telah membentuk rantaian manusia untuk menghalang plaintif dan kesemua peserta dari berarak dengan menggunakan laluan kenderaan keluar masuk ke Tempat Letak Kereta Padang Merbok ini. Perkara ini dilakukan atas arahan dan/atau kawalan defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan/atau kelima.

“Oleh kerana kedua-dua laluan keluar masuk telah dihalang oleh pihak polis, plaintif-plaintif dan kesemua peserta telah dikepung oleh pihak polis di tempat letak kereta Padang Merbok. Jumlah pihak polis pada masa tersebut juga adalah lebih ramai daripada ahli-ahli Badan Peguam yang hadir semasa perhimpunan dan perarakan tersebut.

“Pada masa itu, terdapat kira-kira 200 ke 300 ahli Pasukan Simpanan Persekutuan(FRU) bertopi keledar merah yang telah ditempatkan di sekitar Jalan Parlimen di bawah arahan dan/atau kawalan defendan pertama, keempat dan/atau kelima.

“Situasi plaintif-plaintif dikepung oleh pihak polis dan dihalang daripada bergerak keluar dari tempat perhimpunan berlanjutan selama lebih kurang 40 minit,” dakwa plaintif lagi.

Mereka mendakwa kira-kira jam 11.15 pagi, timbalan menteri undang-undang ketika itu, Mas Ermieyati Samsudin tiba di Padang Merbok dan menerima memorandum, dan mereka bersurai 15 minit kemudian.

Melalui tindakan ini, plaintif menuntut ganti rugi khas sebanyak RM19,449 serta ganti rugi am, tambahan dan teladan yang ditetapkan mahkamah mahkamah, dengan faedah lima peratus ke atas pampasan yang diberikan, dari tarikh penghakiman hingga tarikh ganti rugi diselesaikan sepenuhnya.

Pengurusan kes di hadapan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan pada 12 Jan tahun depan.







........
Komen: Bila PH memerintah semua orang nak tunjuk taring, sebelum ni aman damai aje




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo