NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dengkil banjir lagi, 102 mangsa banjir ditempatkan di dua PPS


LEBIH 10 kereta ditenggelami air di sebuah pangsapuri di Kota Warisan, Dengkil. Selangor susulan banjir kilat. - GAMBAR IHSAN Netizen

DENGKIL
: Seramai 102 mangsa banjir terpaksa berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di sini selepas kediaman mereka dinaiki air susulan hujan lebat, petang semalam.

Dua PPS berkenaan masing-masing di Dewan Taman Gemilang yang menempatkan 62 mangsa dari 16 keluarga dan Dewan Orang Ramai Dengkil yang melibatkan 40 mangsa dari 12 keluarga.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kedua-dua PPS menempatkan mangsa daripada Kampung Ampar Tenang dan Kampung Sri Tanjung.

Beliau berkata, antara mangsa yang ditempatkan di Dewan Taman Gemilang termasuk seorang ibu yang baru bersalin bersama bayinya berusia empat hari.

“Buat masa ini, Dewan Taman Gemilang sudah penuh dan baki mangsa banjir terpaksa dibawa ke Dewan Orang Ramai Dengkil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian banjir kilat petang semalam, beberapa lokasi di sekitar Dengkil dan Kota Warisan dinaiki air menyebabkan puluhan rumah ditenggelami air selain turut menenggelamkan hampir separuh kereta penduduk.

Kawasan teruk terjejas termasuk Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Kampung Ampar Tenang.

Pada 18 November lalu, kawasan sama termasuk Kampung Sri Tanjung dan beberapa lokasi lain turut dilanda banjir kilat akibat limpahan air sungai di jajaran Sungai Langat iaitu Sungai Melut dan Sungai Lalang, di sini.

Dalam kejadian sama, lebih 1,000 mangsa banjir dipindahkan di lapan PPS sekitar Dengkil. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo