NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir kilat landa Sepang, Putrajaya



PUTRAJAYA, 29 Nov (Bernama) -- Hujan berterusan sejak 2 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Sepang dekat sini dan Putrajaya dilanda banjir kilat.

Seorang penduduk Dengkil, K. Ramadass ketika dihubungi Bernama berkata antara kawasan terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Dengkil, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Kampung Ampar Tenang.

Beliau berkata terdapat kawasan perumahan turut dinaiki air lumpur yang menenggelamkan hampir separuh kereta.

Laman Facebook My Dengkil dan Sepang Viral turut berkongsikan maklumat kawasan terjejas termasuk Jalan Jenderam-Salak Tinggi yang mengalami kesesakan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata di Dengkil, paras air mulai surut di beberapa kawasan antaranya Taman Delima Jaya dan Taman Delima susulan hujan semakin reda. 

Beliau berkata di Kota Warisan berhampiran stesen minyak Shell, terdapat air hujan bertakung pada kedalaman 0.3 meter namun ia semakin surut.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya Mohd Afizi Zolkifli berkata pihaknya telah menggerakkan anggota untuk melakukan rondaan di beberapa kawasan terjejas banjir kilat di sekitar pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

“Pemantauan melalui kamera litar tertutup sentiasa dibuat dan rondaan kawasan oleh pasukan sedang dijalankan. Saya percaya pasukan petugas Perbadanan Putrajaya (PPj) pun sedang dan telah membuat pemantauan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya menerima laporan kejadian banjir kilat di kawasan terowong Presint 5 namun kejadian itu berjaya diselesaikan dengan tindakan pantas daripada pasukan petugas PPj dan JBPM.

“Kita ada terima laporan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi di Putrajaya tapi ia sudah surut. Sebarang perkembangan boleh rujuk di laman sosial Facebook JBPM dan PPj,” katanya.

Tinjauan di laman sosial Facebook PPj mendapati pihak perbadanan itu telah memuat naik amaran berjaga-jaga kepada kakitangan awam dan warga pusat pentadbiran kerajaan berikutan hujan lebat berterusan sejak 2 petang tadi.

Menurut maklumat di laman sosial itu, pihak PPj telah mengenal pasti beberapa kawasan berisiko banjir kilat iaitu di Presint 18 berdekatan stesen minyak, Lebuh Wadi Ehsan Presint 19 serta terowong Presint 5 dan telah menggerakkan pasukan petugas ke lokasi terbabit untuk tindakan awal bagi mengelak berlaku banjir kilat.

Jurucakap Unit Komunikasi PPj ketika dihubungi berkata tindakan serta-merta pasukan petugas perbadanan itu berjaya mengawal aliran dan limpahan air hujan di saluran longkang serta jalan raya bagi mengelak berlaku banjir kilat terutama di kawasan rendah.

“Beberapa kawasan dikenal pasti telah kembali normal dan siap dibersihkan pasukan petugas PPj serta Alam Flora Sdn Bhd,” katanya.

-- BERNAMA






........
Komen: ........




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo