NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Awas!! Bom fitnah PH kepada pemimpin PAS akan dilontarkan


PAS adalah penghalang terbesar kepada segala cita-cita politik DAP untuk berkuasa dan merajai nafsu rakus serta kehendak mereka ke atas negara ini. Sudah berulang kali percaturan politik yang direncanakan DAP terkandas atau terbantut dengan kemunculan PAS.

Malah, DAP sering dihambat kegelisahan apabila sokongan mereka kepada acara seperti Octoberfest, himpunan Komunisme, LGBT, Bon Oduri dan seumpamanya turut dibayangi PAS. DAP cukup sedar, biarpun PAS diapit bekerjasama dengan parti lain, namun perkara prinsip cukup teguh dipegang erat parti Islam itu.

DAP pernah menaja individu-individu tertentu di dalam PAS untuk ‘mengambil alih’ teraju kepimpinan PAS yang secara terang dilihat sekitar tahun 2013. Kumpulan ‘haluan kiri’ Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) ditubuhkan untuk tujuan tersebut menjelang penghujung tahun 2014.

Bahkan wujud gerakan lebih agresif di mana kemudiannya dikenali sebagai G18 di mana terdiri daripada elitis PAS yang disingkirkan para perwakilan Muktamar PAS Pusat 2015 di Kuala Selangor. Mereka yang ruhama’ dengan DAP itu telah menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang kemudiannya membentuk PAN.

Namun ‘harapan’ kepada PAN untuk mengambil alih pengaruh PAS di arena politik khususnya dalam kalangan ahli PAS dan orang Islam-Melayu tidak kesampaian. Waktu berjalan menunjukkan PAN semakin tidak diperlukan DAP, kecuali bagaikan belaan untuk menyalak pihak lawan parti roket itu sahaja.

Tetapi DAP yang berwajah Cauvinis tidak berani dan sukar untuk bertentang secara semuka dengan PAS. Kerana pertembungan dengan PAS selalunya menyebabkan kecederaan parah lebih teruk menimpa DAP. Maka DAP terpaksa menghadap PAS menggunakan pelbagai perisai.

Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai PKR dan PAN termasuk NGO-NGO ‘hak asasi manusia’, liberal serta lain-lain itulah menjadi benteng DAP bak pohon gharqad. Jika pohon itu menjadi tempat persembunyian Yahudi, seperti itulah identiti dan agenda DAP menyusup berselindung.

Logo, imej, suara dan tindakan sekutu-sekutu angkatannya itu dijadikan ‘barisan hadapan’ mewakili telunjuk DAP untuk berhadapan dengan PAS yang menganggotai PERIKATAN NASIONAL (PN) Bahkan ketika PRU15 kini sedang berada di kemuncak fasa kempen, DAP kelihatan belum muncul selari hasrat besar parti itu.

Sedangkan DAP menggagaskan impian mega Koridor Harapan dengan sasaran menakluk Perak sebagai sambungan antara Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Tetapi rentak DAP nampaknya tergugat oleh PAS yang mengatur usaha untuk menerajui Pahang, Perak dan Perlis.

Ini bererti, titik pertembungan DAP (mewakili PH) dengan PAS (mewakili PN) adalah di negeri Perak. Kerana terancam oleh PAS-PN yang semakin mendapat perhatian di Perak, maka cita-cita di Pahang mesti digugat. Namun ternyata, DAP tiada isu ampuh untuk dilepaskan tembakan ke atas PAS.

Untuk PH menjejaskan reputasi dan wibawa rekod terutama pemerintahan kerajaan ditadbir PAS, sememangnya agak mustahil. Kelantan terbukti cemerlang bersih 32 tahun tanpa rasuah. Terengganu dengan memiliki banyak syarikat milik kerajaan (GLC) negeri yang rugi, kini melonjak untung.

Kelantan dan Terengganu juga hampir mencecah markah 100 peratus dalam melaksanakan manifesto PRU14 lalu. Kedah pula masyhur diketahui seluruh Malaysia mencatat penerimaan kemasukan pelaburan asing dan domestik tertinggi dalam sejarah negeri itu dan negara ini.

Debat fakta dan data dilihat tidak boleh dilakukan PH kerana akan menyebabkan lebih banyak sisi kelemahan terbarai keluar daripada pihak mereka. Maka PH terpaksa mengulangi lagi kaedah PRU14 apabila retorik, sensasi, manipulasi, bohong, tuduh dan fitnah dijadikan senjata kempen.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan mengangkat diri sendiri sebagai pembongkar banyak penyelewengan serta salah guna kuasa, menjadi senapang menembak PAS. Malangnya, Rafizi salah sasaran apabila tuduhan fitnah beliau dibalas kembali Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu mungkin menjadi sasaran supaya dapat mencalarkan maruah PAS-PN secara umumnya. Atau menyekat potensi PAS di Pahang termasuk batang tubuh Ustaz Tuan Ibrahim sendiri yang dilihat mungkin akan mengetui pentadbiran negeri Mat Kilau itu.

Pendedahan Rafizi kononnya Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) itu meluluskan tender ketika tempoh kerajaan sementara, ternyata tidak berasas. Akhirnya seperti selalu, Rafizi mula putar alam untuk mempertahankan diri yang dilihat terpaksa mencipta plot berjela-jela.

Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri lebih dahulu terjebak ke kancah kempen Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria. Cubaan Anwar menangkis dan menggertak pendedahan Razman yang mengaitkan beliau dengan LGBT, bagaikan senjata makan tuan.

Di sebalik puluhan dan mungkin ratusan laporan polis dibuat ke atas Razman, para netizen pula membongkar keterlibatan atau sokongan Anwar kepada LGBT. Tidak pasal-pasal pekung Anwar dan PH terdedah, sekali gus keterlanjuran itu menimbulkan gelabah di pihak mereka.

Begitu juga cubaan DAP mengheret Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kononnya membuat tuduhan parti itu pro-Komunis. Laporan-laporan polis dikerah bagi mengganggu langkah bertenaga Tuan Guru menjelajah kempen ke seluruh negara bagi PRU15 ini.

Ustaz Tuan Ibrahim sudahpun menyampaikan notis tuntutan saman dari peguamnya kepada Rafizi. Razman sudah siap sedia mengadakan sidang media khas membawa bukti-bukti kenyataannya. Tuan Guru Abdul Hadi juga menunggu masa mengemukakan semua bukti di mahkamah.

Ternyata, kesepaduan langkah menangkis fitnah oleh para pimpinan PAS ini tentunya menampakkan persediaan lebih baik berbanding tuduhan RM90 juta pada PRU14 dahulu. Pun begitu ia bukan bererti DAP-PH akan menghentikan gerakan mereka untuk membunuh karaktor pimpinan PAS.

Tuduhan fitnah dan gertakan yang berlaku ini harus menjadi ‘siren awal amaran’. Menurut satu sumber dari pihak PH, ada lagi individu-individu pimpinan PAS akan dihujani tuduhan fitnah di fasa seminggu akhir kempen nanti. Namun apapun isu tuduhan dan fitnah itu, pihak PAS kini dalam keadaan siap siaga.

Mungkin dengan penyataan ini, perancangan tersebut tidak akan diteruskan seperti rencana asal. Bagaimana mereka akan mengubahnya, sama-sama kita nantikan. Namun, perkara penting wajib ditanam dalam minda rakyat adalah ingatan bahawa PH dan tuduhan fitnah tidak berpisah sama sekali.

...
https://mediafastaqim.com



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo