NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agong titah rakyat bersabar tunggu pembentukan kerajaan baharu


KUALA LUMPUR -
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat Malaysia agar bertenang dan bersabar, sementara menunggu pembentukan kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Seri Paduka bertitah pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu memerlukan sedikit masa lagi.

"Harap bersabar, perlukan masa sikit, kena bersabar, banyak bertenang.

"Kerajaan ‘Caretaker’ masih lagi ada, masih berjalan seperti biasa,” titah baginda ketika mencemar duli menyantuni pengamal media yang berkampung di hadapan pintu 2 Istana Negara, di sini hari ini.

Seri Paduka juga bertitah agar segala perkembangan terkini mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan baharu, hendaklah dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan pihak Istana Negara.

"Saya tidak akan buat kenyataan. Ikutlah kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara,” titah baginda.

Dalam kenyataan media terkini Istana Negara hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan untuk melanjutkan proses bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri, sehingga 2 petang esok.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik untuk memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, hari ini.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung, apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 pada 19 November menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi. - Bernama




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo