NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zuraida buka kisah "Langkah Sheraton"

TERJEMAHAN BAHASA MELAYU
KISAH ZURAIDA:

Pada tanggal 1 Oktober 2022, di dalam Persidangan Agung Tahunan Parti Bangsa Malaysia YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin diangkat menjadi Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM). Di dalam persidangan pertama parti tersebut, seluruh perwakilan sebulat suara bersetuju untuk menyusun semula kepimpinan parti dengan menamakan Ahli Parlimen Ampang tersebut untuk mengambil alih jawatan presiden daripada Ahli Parlimen Julau, YB Datuk Larry Sng.

YB Datuk Larry Sng, yang bersetuju dengan perubahan tersebut, akan menjadi Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia. Pada ketika ini, YB Datuk Hajah Zuraida adalah satu-satunya pemimpin wanita di Malaysia pada ketika ini yang menerajui sebuah parti politik. 

Di dalam persidangan yang sama, Parti Bangsa Malaysia yang mempunyai empat (4) orang ahli parlimen yang mewakili Ampang, Julau, Tebrau dan Lahad Datu, menambahkan kekuatan mereka dengan penyertaan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Edmun R. Santhara Kumar (yang juga merangkap Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar. 

Di dalam satu temubual baru-baru ini, Zuraida, yang kini merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengakui persepsi negatif sesetengah pihak terhadap penglibatannya dalam Langkah Sheraton. 

Beliau adalah antara 11 ahli parlimen PKR yang dipecat sebelum "Langkah Sheraton" berlaku, yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020. Ini kisah Zuraida tentang mengapa Langkah Sheraton telah berlaku.

“Apabila Tun meletak jawatan sebagai PM, kami terus menyokong beliau kerana kami mahukan mandat baharu,” katanya merujuk kepada tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Feb 2020. 

“Semasa pengundian pertama, sokongan sebulat suara sepatutnya datang dari ahli-ahli Pakatan Harapan. Tetapi pada ketika itu [majoriti] Ahli Parlimen Pakatan Harapan tidak memberikan undi (menyokong) beliau. Sebab itu beliau hanya mendapat kira-kira 65 undi daripada keseluruhan Ahli Parlimen Pakatan Harapan.

Secara jelas di sini, Pakatan Harapanlah yang mengkhianati Tun dan bukannya kita. Saya tetap mengundi untuk mengekalkan Tun (sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan),” katanya. 

Zuraida berkata undian di dalam pusingan pertama adalah untuk menentukan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan. Dalam pusingan ini, presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kira-kira 90 undi tetapi itu tidak mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.

Para pengkritik percaya bahawa Zuraida, yang ketika itu merupakan Naib Presiden PKR, sepatutnya menyokong Datuk Seri Anwar kerana beliau adalah presiden partinya dan bukannya Tun Dr Mahathir, yang ketika itu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

“Ketika kita dalam kerajaan, tidak sampai dua tahun, dan Anwar telah mendesak dan memaksa Tun untuk berundur. Dan pada ketika itu, Pakatan Harapan telah kalah dalam hampir semua Pilihanraya Kecil, dan jelas di sini kita telah kehilangan sokongan akar umbi rakyat Malaysia,” terang beliau. 

“Kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu adalah kerajaan yang sangat mentah, dan kita cuba untuk mentadbir dan belajar cara-cara pentadbiran, tetapi harus diakui yang kami telah gagal – itulah sebabnya kami hanya bertahan selama 22 bulan sahaja. Kami gagal kerana kami tidak tahu bagaimana untuk berkelakuan seperti kerajaan. Kami bertindak seperti Pembangkang.” sambung Zuraida

 “Itulah sebabnya kami mahu memberi Tun mandat yang lebih besar supaya beliau boleh merombak Kabinet dan menyusun semula mekanisme kerajaan Pakatan Harapan, yang mana pada ketika itu terdapat keperluan untuk menyingkirkan mereka yang telah ditempatkan di dalam portfolio yang salah. 

“Tun mahu membentuk kerajaan perpaduan, dan beliau akan melantik menteri mengikut merit dan bukan kedudukan parti atau gabungan. Tetapi Pakatan Harapan tidak mahu memberikan sokongan kepada beliau.”

Setelah Dr. Mahathir kalah di dalam pengundian tersebut, beliau memberitahu kami supaya memberi laluan kepada Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri – “Kami patuh kepada Tun Dr. Mahathir dan menyokong permintaan beliau,” kata Zuraida lagi. 

Namun begitu, di dalam pengundian kedua untuk memilih Perdana Menteri, di saat-saat akhir, sebilangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan tiba-tiba menyokong pula Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri dan bukannya Datuk Seri Anwar. 

Di dalam pertarungan sengit untuk merebut jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin dilihat mempunyai sokongan tertinggi, dan bukan Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar. 

Mengenai sebab beliau dan ahli parlimen PKR yang lain menyokong Muhyiddin dalam undian kedua dan bukannya Tun Dr Mahathir, yang mereka sokong pada pusingan pertama, Zuraida berkata: “Tun hanya diletakkan menjadi calon Perdana Menteri Pakatan Harapan pada malam sebelum pengundian pusingan kedua. 

“Dia membuat keputusan itu pada saat-saat akhir. Dan pada hari pengundian, kami telah pun menyerahkan pengisytiharan kami, dan selepas itu para pemimpin Pakatan Harapan mula memanggil kami, jadi kami memutuskan, sama ada kami berjaya atau tidak, kami akan berpegang kepada rancangan asal kami (sepertimana yang telah dipesan oleh Tun Dr. Mahathir, untuk memberikan laluan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri).”

Dan kisah ini akhirnya menjadi sejarah. Mengulas berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zuraida berkata semasa berlangsungnya pemilihan PKR pada tahun 2018, berlaku perpecahan yang amat ketara antara Kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim (pada ketika itu Ketua Umum Keadilan) dan Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali. 

“Kumpulan kami (yang pada ketika itu menyokong Datuk Seri Azmin Ali) telah memenangi banyak jawatan di dalam parti telah dianak-tirikan oleh kepimpinan Parti Keadilan Rakyat. 

“Sebilangan besar daripada kami mempunyai masalah dengan Datuk Seri Anwar disebabkan pengurusan beliau terhadap parti ini. Sekiranya kita tidak menyokong Tun Dr. Mahathri (dalam pemilihan untuk menjadi Perdana Menteri), sudah tentu kami akan “dibunuh” [secara politik] di dalam PKR,” kata Zuraida. 

Zuraida turut menegaskan bahawa selepas Datuk Seri Anwar bebas dari penjara pada tahun 2018, beliau mengambil jalan paling mudah dan pantas untuk menjadi Perdana Menteri. 

Menurut Zuraida, Datuk Seri Anwar seharusnya bertindak untuk menyatukan parti ini terlebih dahulu selepas pemilihan PKR 2018, sebelum melakukan apa-apa tindakan politik yang lain. 

“Saya menasihatkan beliau, kenapa tidak beliau satukan dan kuatkan parti terlebih dahulu, dan kami akan sokong beliau jadi PM. Untuk memimpin negara, beliau perlu mempunyai sokongan parti yang kuat. Beliau perlu melakukan perkara asas, iaitu mengukuhkan parti,” kata Zuraida lagi.

 “Apa yang mengecewakan saya, Anwar adalah sebahagian daripada kerajaan PH, dan dia mahu menjadi Perdana Menteri seterusnya, tetapi tiada langsung perkara yang beliau lakukan untuk membantu Kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu.”

Zuraida menyambung: “Kami memberitahunya jika beliau fikir kita akan membunuh beliau [secara politik], kami akan meletakkan calon menentang anda sebagai presiden PKR. 

“Tetapi kami memutuskan untuk memberikan beliau tanpa bertanding (di dalam pemilihan PKR 2018). Ini menunjukkan kami masih menghormati kepimpinan beliau.”
 
Mengenai sebab beliau menyertai Bersatu selepas Gerakan Sheraton, Zuraida berkata selepas PKR memecat Pasukan Azmin, ahlinya memutuskan untuk memberi kekuatan kepada parti paling dominan di dalam kerajaan pada ketika itu, iaitu Bersatu. 

Bagaimanapun, selepas hampir setahun bersama Bersatu, Zuraida mendapati penyokong dan sokongan akar umbi yang dimiliki oleh beliau tidak dimanfaatkan oleh Bersatu.

“Bersatu tidak dapat menerima mereka. Kami berasa sangat tidak diingini, tidak dihiraukan dan dianggap seperti orang luar,” katanya. 
Mengenai bagaimana sejarah akan menilai beliau berdasarkan Langkah Sheraton, Ahli Parlimen Ampang tiga penggal itu berkata beliau berharap rakyat dalam menilai prestasinya sebagai seorang pemimpin dan bukannya dengan persepsi yang direka-reka oleh pihak tertentu.

“20 tahun saya memperjuangkan reformasi bersama PKR. Kami adalah parti protes jalanan, dan kami berkorban selama 20 tahun,” katanya sambil menambah bahawa Datuk Seri Anwar telah mengenepikan kumpulan yang dipimpin oleh beliau dan Azmin, untuk memberi kelebihan kepada pemimpin PKR lain yang tidak menjalankan tugas secara berkesan. 

“Kamilah pemimpin yang menggerakkan rakyat. Pasukan kami menang dalam pemilihan parti, tetapi kepimpinan utama parti tidak mahu mengiktiraf atau bekerjasama dengan kami.

"Saya mahu sejarah menilai saya sebagai seorang pemimpin pembangkang wanita (semasa berjuang di dalam pembangkang) dan sebagai seorang Menteri (semasa berkhidmat di dalam kerajaan)," katanya, merujuk kepada zamannya sebagai ketua wanita PKR. 

"Tidak kira di mana saya berada, dalam pembangkang atau kerajaan, saya ikhlas mahu berkhidmat untuk negara dan rakyat." 

Dan inilah kisah Presiden Parti Bangsa Malaysia, YB Datuk Hajah Zuraida Binti Kamaruddin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo