NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ULASAN | Pilihraya Israel: Siapa pilihan pengundi Arab?


Minggu ini, pada 1 November, rakyat Israel akan memilih kerajaan yang baru. Ini kali kelima rakyat Israel dipaksa ke peti undi dalam tempoh kurang empat tahun. Ya, anda tak salah dengar. Ini pilihan raya yang kelima sejak April 2019. 

Selepas pilihan raya April 2019 gagal menatijahkan pembentukan kerajaan, Israel kemudian melalui tiga lagi pilihan raya pada September 2019, Mac 2020 dan Mac 2021. Gila bukan? 

Kita di Malaysia tukar tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun. Di Israel tukar kerajaan lima kali dalam tempoh empat tahun. Sadis betul!

Pilihan raya kali ini terpaksa dilakukan selepas kerajaan perpaduan Bennett-Lapid tumbang pada Jun 2022 selepas hanya setahun memerintah. Bennett terpaksa meletak jawatan selepas tiga orang ahli parlimen dari partinya sendiri (Yamina) menarik sokongan daripada kerajaan.

Benjamin Netanyahu dan Yair Lapid


Antara sebab penarikan sokongan tersebut ialah kecelaruan polisi-polisi kerajaan ekoran kepelbagaian ideologi parti-parti yang membentuk kerajaan. Parti Yamina dari haluan ekstrem kanan banyak tidak sependapat dengan parti-parti gabungan kerajaan yang sebahagian berhaluan kiri (Labor, Meretz, Ra’am).

Sebelum kerajaan Bennett-Lapid, kerajaan perpaduan Netanyahu-Gantz juga tidak bertahan lama (Mei 2020-Mac 2021) akibat pertembungan idea dua pemimpin utama tersebut. Kerajaan terbentuk pun secara terpaksa akibat penularan wabak Covid-19.

Jangkaan keputusan 

Berbalik kepada cerita PRU 2022 di Israel, tinjauan awal menunjukkan keputusan kali ini kemungkinan besar tidak akan banyak berbeza dengan keputusan empat pilihan raya sebelum ini. Tiada gabungan yang akan menang cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Kedudukan parti Benjamin Netanyahu (Likud) dijangka tidak banyak berubah. Likud dijangka akan menang 30-31 kerusi. Skandal rasuah Netanyahu nampaknya tidak memberi banyak kesan terhadap sokongan ke atas parti itu.

Parti Yair Lapid (Yesh Atid), Perdana Menteri Interim Israel ketika ini, dijangka akan melonjakkan jumlah kerusi daripada 17 kepada 27. Ini antara lain disebabkan oleh kemerosotan sokongan ke atas Parti Labor dan Meretz (sekutu Lapid) serta perpecahan gabungan parti Arab, Arab Joint List (Hadash, Ta’al dan Balad). Lapid dijangka akan mendapat undi komuniti Arab yang tidak mahu melihat Netanyahu kembali sebagai Perdana Menteri.



Parti ekstrem Religious Zionism juga dijangka akan melonjakkan jumlah kerusi daripada enam kepada 14. Parti dengan pemimpin kontroversi seperti Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir yang sering melakukan provokasi di Masjid al-Aqsa dan ke atas komuniti Arab seperti di Sheikh Jarrah, akan mendapat laba akibat kemerosotan Parti Yamina, parti Naftali Bennett. 

Penyokong Yamina dijangka akan mengalihkan sokongan kepada Religious Zionism selepas kecewa dengan tindakan Bennett mengkhianati parti-parti haluan kanan dan membentuk kerajaan bersama parti-parti haluan kiri dengan Yair Lapid sebelum ini. Ini akan menjadikan parti ekstrem Zionis ini menjadi blok ketiga terbesar selepas Likud dan Yesh Atid.

Parti Yamina dijangka akan terkubur kerana beberapa tinjauan menunjukkan parti bekas perdana menteri, Naftali Bennett ini tidak akan mampu melepasi nilai ambang 3.25%. (Setiap parti yang bertanding perlu mendapat sekurang-kurangnya 3.25% undi untuk mendapat sebarang kerusi.)

Prestasi Parti Arab

Parti Arab Ra’am akan kekal bertanding secara solo seperti Mac 2021 dan mengekalkan eksperimen untuk menjadi sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan. Ia dijangka akan mampu mempertahankan 4 kerusi yang dimenangi sebelum ini.

Parti Arab Balad pula menjadi parti Arab kedua bertanding secara solo selepas memisahkan diri daripada Arab Joint List. Parti ini walau bagaimanapun diramal tidak mampu melepasi nilai ambang 3.25%.

Pakatan parti Arab Hadash-Ta’al dijangka hanya mampu memperoleh empat kerusi sahaja. Kekecewaan pengundi Arab ke atas perpecahan gabungan parti Arab diramal akan memberi impak negatif ke atas Hadash-Ta’al yang mengetuai gabungan itu selama ini.

Jika semua tinjauan ini tepat, gabungan parti yang menyokong Netanyahu (Likud-Religious Zionism-United Torah Judaism-Shas) dijangka akan memperoleh 60 kerusi; kurang satu untuk membentuk majoriti mudah.

Gabungan parti asal bukan Netanyahu pula akan dijangka akan memperoleh 56 kerusi sahaja; tidak termasuk Hadash-Ta’al. Dengan kata lain, kebuntuan politik akan terus menghantui politik di Israel.

Namun, para penganalisis politik mengatakan senario ini mungkin berubah sekiranya berlaku peningkatan peratus keluar mengundi yang drastik di kalangan pengundi Arab. 

Pilihan raya Mac 2021 menyaksikan peratus mengundi di kalangan pengundi Arab merosot kepada 45% sahaja berbanding 64% pada pilihan raya Mac 2020.

Sekiranya pengundi Arab kembali keluar mengundi dan mengulangi prestasi pada Mac 2020, politik di Israel berkemungkinan besar akan sekali lagi bergantung harap kepada sokongan parti Arab.


KHALID JIMAT ialah ketua pegawai penyelidik, Palestine Centre of Excellence (Paca).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sumber I Malaysiakini



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo