NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tipu pakej perkahwinan : Polis cari Muhammad Lutffi Laman

Bentong: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai melakukan penipuan pakej perkahwinan membabitkan kerugian RM20,900.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima dua aduan dibuat seorang wanita berusia 57 tahun yang juga ibu pengantin serta pengantin berusia 28 tahun pada 24 Oktober lalu.

"Menurut pengadu, syarikat pakej perkahwinan 'The Wedding by Fiey' itu memperdayakan orang ramai dengan mengiklankan promosi pakej di Facebook menggunakan nama syarikat.

"Suspek bernama Muhammad Lutffi Iaman Mat Abu berusia 28 tahun itu dipercayai mensasarkan pasangan mahu berkahwin yang tinggal di daerah ini.

"Antara pakej yang ditawarkan adalah set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, selepas mangsa bersetuju untuk mengambil pakej perkahwinan itu, mangsa diminta datang berjumpa suspek untuk berunding.

"Suspek meminta mangsa membuat pembayaran penuh untuk menempah pakej perkahwinan. Namun, selepas pembayaran dibuat atas nama syarikat, lelaki itu kemudian menghilangkan diri.

"Kedua-dua mangsa terbabit mengalami kerugian RM20,900," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati syarikat itu wujud dan sudah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Kita sudah mengenal pasti lokasi butik pengantin terbabit yang sudah ditutup di Bandar Bentong. Kami percaya suspek sudah menghilangkan diri dan usaha mengesan lelaki terbabit sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Beliau memohon mangsa penipuan lelaki terbabit supaya tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pusay Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 bagi membantu siasatan," katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo