NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sentimen berhati-hati dorong ringgit susut berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Oktober dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, di tengah-tengah sentimen berhati-hati pelabur menjelang kenyataan penting bank pusat berkaitan dasar monetari, minggu ini.

Pada 6 petang, ringgit mencecah paras 4.7260/7300 berbanding dolar AS daripada 4.7225/7275 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank of England dijangka mengumumkan kenaikan 75 mata asas (bps) manakala Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur menaikkan 25 bps pada Khamis ini.

“Keputusan BNM itu turut menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia pada suku ketiga 2022 yang akan diumumkan pada minggu berikutnya (11 Nov, 2022)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, kalangan pelabur akan turut memberi perhatian kepada data pekerjaan AS yang akan mempengaruhi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada Disember 2022.

“Selain itu, data inflasi terbaharu United Kingdom yang melepasi dua digit pada September akan turut menyaksikan zon Euro mengambil tindakan sama dalam pengumuman inflasinya pada hari ini.

“Oleh kerana harga minyak kekal meningkat, inflasi akan terus ketara pada musim sejuk ini,” katanya.

Firdaos berkata, pelabur juga kekal berhati-hati dalam urus niaga minggu ini susulan jangkaan keputusan bank negara AS dan Malaysia bertindak memperketat dasar monetari masing-masing berikutan data inflasi terkini.


“Berikutan itu, kami mengunjurkan ringgit diniagakan dalam jajaran RM4.72 hingga RM4.74,” katanya.

Inflasi teras AS berada pada 6.6 peratus pada September berbanding 6.3 peratus pada Ogos manakala Malaysia mencatat empat peratus pada September berbanding 3.8 peratus dalam Ogos lepas.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain, kecuali bagi pound Britain.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1833/1863 daripada 3.1976/2012, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3409/3439 daripada 3.3436/3474 dan naik berbanding euro kepada 4.7000/7040 daripada 4.7008/7058 pada Jumaat.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding pound Britain pada 5.4647/4693 daripada 5.4455/4513 pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo