NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terbuka Perancis: Kemenangan bermakna selepas kecederaan Pearly - Thinaah


KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Pemain beregu wanita utama negara, M. Thinaah menyifatkan kemenangan di kejohanan Terbuka Perancis 2022 di Paris pada Ahad lepas, sebagai cukup bermakna selepas mengharungi pelbagai cabaran termasuk kecederaan dialami pasangannya, Pearly Tan baru-baru ini.

Pemenang emas Sukan Komanwel 2022 itu menerusi perkongsian di Instagramnya hari ini, turut berterima kasih kepada kakitangan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), keluarga dan seluruh peminat badminton atas sokongan kepada mereka.

“Tiada kata-kata dapat menggambarkan perasaan saya dan betapa bermaknanya (kemenangan) ini kepada kami terutama selepas apa yang diharungi pasangan saya @_pearlytan bulan lepas. Kemenangan ini bukan untuk kami semata-mata, tetapi untuk anda semua yang sentiasa percaya kepada kami,” kata Thinaah.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pearly kerana telah memberi yang terbaik dan sentiasa bersamanya sepanjang perjalanan mereka.

Sementara itu, Pearly gembira dapat kembali beraksi dan bermain badminton selepas mengalami kecederaan hamstring pada Terbuka Jepun bulan lepas.

“Sekarang baru saya faham kadangkala selepas kehilangan sesuatu, sebenarnya sesuatu yang lebih berharga menunggu kita,” kata Pearly.

Kecederaan dialami Pearly menyaksikan dia terpaksa mengakhiri perjuangannya bersama Thinaah ketika mereka berdepan dengan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Lim dalam pusingan kedua kejohanan Terbuka Jepun 2022 yang berlangsung di Maruzen Intec Arena, Osaka.

Dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis, pasangan bukan pilihan itu mengejutkan pilihan keempat yang juga juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun 21-19, 18-21, 21-15, sekali gus menjadi beregu wanita Malaysia pertama memenangi gelaran itu.

Untuk rekod, beregu wanita negara paling hampir merangkul kejuaraan Terbuka Perancis ialah pada 2008 apabila Wong Pei Tty-Chin Eei Hui muncul sebagai naib juara.


- BERNAMA 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo