NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Saya tarik semakan Batu Puteh atas nasihat pegawai dilantik Apandi’, kata Dr M



KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad berkata tindakannya menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman, pada 2018, melibatkan Batu Puteh susulan nasihat oleh pegawai dilantik Apandi Ali.

Bekas perdana menteri itu, berkata pelantikan Apandi sebagai pengerusi Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara (JPN) juga mempunyai konflik berkepentingan.

“Itu pendapat dia (Ismail Sabri Yaakob), ada kecuaian. Kita angkat Apandi jadi pengerusi (jawatankuasa itu), dia ada conflict of interest (konflik berkepentingan).

“Sepatutnya angkat orang lain. Walaupun demikian kalau nak bawa ke mahkamah antarabangsa, biar mahkamah antarabangsa putuskan,” katanya ketika ditemui menghadiri Persidangan & Pameran Kanan bertajuk ‘Melalui Pandemik: Memperkasa Warga Emas untuk Tahun Terbaik mereka’, di Menara Kuala Lumpur.

Pada 13 Okt, Jemaah Menteri diberitahu kemungkinan berlaku kecuaian dan kekhilafan oleh Mahathir terhadap tuntutan kes Batu Puteh, kata Ismail yang juga perdana menteri sementara.

Ismail dalam kenyataan berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pasukan petugas khas dalam kes itu bahawa Mahathir mungkin telah membuat kesilapan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018 melibatkan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, seharusnya negara menerima keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Bagi saya, kita sudah janji dengan Singapura, kita akan terima apa jua keputusan dibuat mahkamah.

“Lepas itu apabila mahkamah buat (keputusan), kita tak boleh tolak. Kita dah janji,” katanya ketika ditanya keperluan bagi Malaysia menuntut semula Batu Puteh.

Mahathir juga berkata, sama seperti kes Pulau Sipadan dan Ligitan tidak boleh dituntut kembali Indonesia selepas diputuskan mahkamah.

“Kita setuju dari awal. Kita boleh pergi mahkamah kalau setuju keputusan mahkamah akan diterima. Sekarang ini kita nak tolak. Kita perlu jaga janji kita,” katanya.

Pada 2008, ICJ memutuskan bahawa Batu Puteh adalah milik Singapura, Batuan Tengah kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan bawah pimpinan Mahathir menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Pada 29 Okt tahun lalu, Jemaah Menteri telah membuat keputusan bagi membentuk pasukan petugas khas bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan mencadangkan langkah terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan.

Pasukan itu dipengerusikan bekas peguam negara, Apandi dan terdiri daripada peguam tempatan yang mengendalikan kes berkenaan pada 2016 hingga 2017, pengamal undang-undang, pakar pengukuran maritim serta wakil kementerian atau jabatan yang berkepentingan.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo