NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saingan tiga parti dijangka lebih sengit di Pulau Pinang

Oleh Nur Izzati Mohamad

EPISOD seorang ahli Parlimen dan empat ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN), memberi tamparan terhadap suasana politik negeri ini yang kelihatan tenang pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mereka yang bertindak demikian terdiri daripada Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman dan ADUN terdiri daripada Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).

Tindakan mereka melompat parti hampir menyebabkan rak- yat Pulau Pinang diheret untuk penentuan semula kerusi terbabit pada Pilihan Raya Kecil (PRK), namun ia tidak berlaku atas pelbagai faktor, termasuk penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Tindakan semua wakil rakyat terbabit turut menyebabkan imej PH tercalar kerana perbuatan itu dianggap mengkhianati mandat diberikan rakyat.

Amat mengejutkan apabila perkara ini berlaku dalam situasi kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP, yang dikatakan mendapat sokongan sangat utuh serta sukar digugat selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada 2008.

Bagaimanapun dalam politik, ia tidak 'statik' dan coraknya akan sentiasa berubah mengikut landskap serta peredaran pentadbiran semasa.

Ini memberi amaran kepada PH bahawa mereka tidak boleh terlalu selesa dan yakin terus dapat mempertahankan kubu kuat mereka, selagi tidak menghapuskan budaya 'katak' yang kian menular.

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan, pastinya memberikan kelegaan bagi menghukum pengkhianat yang mengkhianati mandat rakyat negeri itu.

Untuk rekod, PRU14 menyaksikan komponen PH iaitu DAP, memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN, manakala PKR menguasai empat kerusi Parlimen dan 14 kerusi DUN, manakala BERSATU dan AMANAH masing-masing memenangi dua kerusi DUN.

BN di bawah UMNO hanya memenangi dua kerusi Parlimen yang menjadi kubu kuat orang Melayu di Kepala Batas serta Tasek Gelugor dan dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua serta Permatang Berangan.

PAS pula mempunyai satu-satunya wakil mereka yang memenangi kerusi DUN Penaga yang selama ini menjadi milik UMNO.

Namun, tindakan segelintir wakil rakyat bertindak keluar parti dan menyertai PN menyebabkan PH kehilangan kerusi, termasuk juga BN apabila Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, turut mengambil langkah menyertai PN.

Justeru, PRU15 ini dilihat oleh PH dan BN sebagai medan untuk mengajar pemimpin yang mengkhianati mandat rakyat apabila kedua-dua gabungan itu mengorak langkah untuk merampas kembali semua kerusi yang pernah dimiliki mereka itu.

Tumpuan kerusi panas

Situasi itu membuatkan, tumpuan kerusi panas di Pulau Pinang dalam PRU15 ini, tidak lagi tertumpu kepada Parlimen Permatang Pauh yang menjadi kubu kuat PKR, sebaliknya adalah kerusi-kerusi mereka yang melompat dan menjadi sasaran gerakan PH dan BN.

Persoalannya, mampukah PH kekal terus menguasai kerusi Parlimen di Pulau Pinang untuk penggal seterusnya atau BN bangkit dari kekalahan teruk pada PRU14 lalu atau PN berupaya menambah kerusi dalam saingan yang dijangka lebih sengit pada kali ini.

Misi berat juga menanti PH apabila Majlis Presiden gabungan itu memutuskan tidak mahu membubarkan DUN untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak dengan PRU15, sedangkan DAP yang mengetuai pentadbiran Pulau Pinang mahu keputusan itu disemak kerana sedar kedudukan mereka di negeri itu.

Beberapa penganalisis politik memberi gambaran bahawa parti politik yang tidak membubarkan DUN dikuasai mereka serentak dengan PRU15, akan berdepan dengan kehilangan undi, selain merosakkan 'mood' rakyat yang terpaksa pulang mengundi sebanyak dua kali.

Pada masa sama, sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan pastinya gabungan terbabit akan memberi tekanan apabila jentera yang lebih besar akan digerakkan pada PRN nanti.

Apa alasan sebenarnya PH tidak mahu membubarkan DUN Pulau Pinang, selain alasan ingin fokus terhadap persiapan menghadapi banjir itu hanya mereka sahaja yang tahu memandangkan ini adalah strategi politik masing-masing.

Isu projek modal pihak lawan

Isu projek tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR) di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) mungkin sekali lagi dijadikan modal lawan seperti BN dan PN untuk menyerang PH apabila ia hangat diperkatakan sepanjang tempoh pentadbiran penggal ini.

PIP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.

Semestinya, projek ini mendapat tentangan hebat pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kerap menyuarakan masalah terutamanya alam sekitar yang bakal timbul sekiranya ia diteruskan.

Namun, kesudahannya pasti tertakluk kepada undi rakyat Pulau Pinang sendiri, yang lebih mengenali parti mana sebenarnya layak memacu negeri ini, sekali gus meningkatkan ekonomi ke tahap lebih tinggi.

Sumber | BH


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo