NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakyat tak perlu risau dikhianati lagi, PH ada 'chief' baru - Anwar


Rakyat tidak lagi perlu bimbang dikhianati Pakatan Harapan (PH) lagi selepas ini, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH itu berkata, gabungan berkenaan kini mempunyai pengemudi yang baru, dan ia tidak lagi melibatkan "orang lama" dan segala ikrar yang dinyatakan mereka akan diusahakan sebaik mungkin.

"Saya nak bagitahu 60 tahun (BN mentadbir Malaysia) banding 22 bulan (PH)... Saya bukan nak pertahan 22 bulan, yang baik saya cakap baik, yang tak puas hati, saya cakap tak puas hati.

"Tetapi, chief (ketua) PH sekarang ini bukan orang lama.

"Ketua PH yang cakap janji semua ini (manifesto PRU ke-15) saya - Anwar.

"Saya tidak mahu rakyat rasa dikhianati lagi," katanya di program Jelajah Nadi Rakyat di Tapah, Perak malam tadi.

Musuh politik PH sebelum ini memperolok pemerintahan PH kerana hanya bertahan selama 22 bulan sebelum kerajaan dijatuhkan di luar pilihan raya, dalam peristiwa dikenali sebagai Langkah Sheraton.

PH mendapat mandat menjadi kerajaan baru Malaysia selepas PRU ke-14 pada Mei 2018 tetapi tindakan Bersatu serta beberapa ahli parlimen PKR berpaling tadah menyebabkan penadbiran diketuai Dr Mahathir Mohamad ketika itu diruntuhkan.

Mahathir merupakan pengerusi PH ketika itu.

Semasa menjadi kerajaan, PH dikecam kerana "gagal" menunaikan sesetengah janji manifestonya.

Ketika diasak di Dewan Rakyat, Mahathir memberitahu untuk melaksanakan semua janji dalam manifesto PH, mereka memerlukan masa yang lebih lama. Dia juga pernah berkata, manifesto PH bukanlah "kitab suci" sehingga ia wajib dipatuhi sepenuhnya tanpa mengira keadaan semasa.

Bagaimanapun kerajaan yang dibentuk selepas itu bertahan lebih singkat daripada 22 bulan.

Menurut Anwar lawan PH kini tidak lagi mempunyai modal dengan mendakwa gabungan tersebut gagal.

"Sekarang BN tak ada modal. Yang dia kata (berulang-ulang) 22 bulan 'hancing' - itu sahaja," katanya.

Terdahulu, program disertai Anwar itu disertai lebih 700 orang. Turut hadir, Naib Presiden PKR Chan Lih Kang dan K Saraswathy, dan serta penyandang kerusi parlimen Sungai Siput S Kesavan.

Parlimen Tapah merupakan kubu kuat BN yang merupakan salah stau daripada dua kerusi parlimen milik MIC yang tidak pernah kalah.

Malaysiakini difahamkan bahawa timbalan presiden MIC M Saravanan yang juga merupakan penyandang kerusi itu selama tiga penggal akan dikekalkan semula pada PRU kali ini.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo