NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Sebahagian masyarakat sudah penat ikuti isu politik secara dekat

Sebahagian golongan peniaga-peniaga kecil di sekitar Seremban, Negeri Sembilan yang ditemui mengakui tahap keyakinan mereka pada setiap janji politik setiap kali menjelang pilihan raya sudah pudar. - Astro AWANI

SEREMBAN: Ketika parti-parti politik tanah air ketika ini sedang sibuk melakukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebahagian masyarakat mungkin sudah penat dan tidak lagi bersemangat untuk mengikuti perkembangan itu secara dekat.
Walaupun mungkin tidak semua, tapi hakikatnya ramai juga di kalangan masyarakat terutamanya golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selain golongan B40, lebih menumpukan perhatian untuk memperbaiki sumber pendapatan mereka.
Kos sara hidup yang meningkat, peluang pekerjaan terhad serta pengangguran sebenarnya masih lagi menjadi fokus utama masalah yang biasa didengari di serata pelusuk negara ketika ini akibat pandemik tersebut.
Malah, sebahagian golongan peniaga-peniaga kecil di sekitar Seremban, Negeri Sembilan yang ditemui mengakui tahap keyakinan mereka pada setiap janji politik setiap kali menjelang pilihan raya sudah pudar.
Ada dalam kalangan mereka pula mengakui hanya sekadar mengambil maklum mengenai arus politik semasa tetapi tidak lagi meletakkan harapan yang tinggi atau berminat mengikutinya secara dekat seperti sebelumnya.
Namun hakikatnya, keadaan bebanan semasa terutamanya kos sara hidup dan juga kenaikan harga barang telah menyebabkan jumlah pendapatan hasil perniagaan kian mengecil.
Bagi Anisah Ismail, 47 yang telah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di Seremban 2 sejak lapan tahun lalu, mengakui bahawa jumlah pelanggannya tidak lagi seperti dahulu.
Malah, katanya orang ramai sehingga kini sangat berhati-hati mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli barang keperluan.
Baginya, kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang berlaku masih gagal ditangani dengan baik dan menjadi masalah utama yang perlu diselesaikan segera tanpa sebarang retorik oleh pemimpin.
“Sekarang mereka ni, memanglah kalau masa nak mengundi mereka datang cari kita, lepas mengundi tak ada berubah pun. Macam ni lah juga kami.
“Sekarang tak ada dah macam dulu, tengoklah ni sampai tengah hari pun masih belum habis lagi (barangan jualan).
"Kita peniaga memang rasa kenaikan harga barang yang gagal tangani apa lagi pelanggan,” katanya.
Meskipun begitu, jelasnya, sebagai warga yang bertanggungjawab dia tetap akan menunaikan haknya untuk memilih calon yang dirasakan mampu mengubah keadaan sekalipun ada kekecewaan sebelum ini.
Menurut seorang lagi peniaga, Inol Shahruddin Jamaluddin, 47, perkembangan politik semasa tidaklah banyak menarik minatnya selepas pelbagai isu yang melanda sebelum ini.
Namun katanya dia mengakui ada sebahagian pemimpin politik yang pernah menerajui kerajaan negeri itu telah melakukan beberapa inisiatif yang sangat bermanfaat bagi peniaga kecil sepertinya satu ketika dahulu.
“Bila dia bagi kita kelonggaran berniaga di tepi, amat memberi impak yang besar kepada kami semua.
"Untuk memulakan perniagaan walaupun kecil, ia memerlukan modal dan kos untuk (menyewa) tapak. Bagi kami ia bukanlah mudah," jelasnya lagi.
Bagaimanapun katanya ia tidak kekal lama selepas kelonggaran itu akhirnya ditarik balik apabila berlaku perubahan kerajaan pada PRU14 yang lalu.
Arahan berpindah ke tapak baharu yang disediakan kerajaan pada 2020 katanya telah menyebabkan ramai peniaga gulung tikar disebabkan ketiadaan pelanggan dan juga COVID-19 yang melanda.
Sementara itu, bagi Abdul Latif Hashim, 58 pula, dia menganggap perubahan dan krisis politik yang membadai negara sejak peralihan kuasa dalam kerajaan Persekutuan sehingga kini adalah lumrah biasa.
Namun, katanya apa yang agak mengecewakan adalah tugas sebenar dan fungsi sebagai pemimpin politik kepada masyarakat yang sepatutnya menjadi tempat menyelesaikan masalah.
Katanya, bagi golongan peniaga, kos sara hidup dan harga barang yang meningkat sepatutnya menjadi keutamaan paling tinggi.
Walaupun pelbagai insiatif yang telah cuba diketengahkan ini untuk menyelesaikanya namun hakikat sebenar yang dihadapi ketika ini adalah berbeza.
Dalam masa yang sama, dia juga berpandangan bahawa semua pihak dalam rantaian industri perniagaan itu sendiri juga haruslah bersikap jujur dan memberi sokongan terhadap usaha kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga barang yang berlaku.
“Harga barang itu kita perlu kawal lah, bukan saya seorang yang mengawal harga ni, semua orang bertanggungjawab. Harga barang kawalan itu sepatutnya dikawal, penguatkuasaan mesti kuat dan telus,” katanya lagi.

Sumber I Astro Awani 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo