NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: Muhyiddin bayangkan PAS pilih PN

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin hari ini membayangkan PAS berkemungkinan kekal bersama gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.

"Insya Allah, insya Allah. Istiqamah kita kata," katanya.

Presiden Bersatu itu berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik parti itu di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.

Petang tadi, Muhyiddin dan ahli majlis tertinggi PN, dengan PAS diwakili timbalan presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man, mengadakan mesyuarat bulanan gabungan itu di lokasi yang sama.

"Kita ada mesyuarat mengenai persiapan pilihan raya. Bila masa (PRU) kita tak tahu.

"Tapi bukan baru, dah bincang beberapa kali tapi hari ini lebih terperinci untuk tentukan. Pertama, menyelaraskan semua jentera kita atas nama PN.

"Dalam mesyuarat PN, kita dah setuju semua jentera di semua peringkat bergerak atas nama PN.

"Maknanya gabungan parti yang ada - Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan Star. Itu kita tetapkan," kata Muhyiddin.

Ketika ditanya pendirian muktamad parti itu mengenai keputusan antara bekerjasama dengan PN atau BN, Tuan Ibrahim berkata, "Tak ada pilihan. Kita sebahagian dari PN."

Bagaimanapun, dia berkata PAS berpandangan terdapat kerusi yang mesti dirundingkan bagi menafikan kemenangan PH.

Bulan lalu, ahli jawatankuasa PAS pusat, Mohd Zuhdi Marzuki dilaporkan mendakwa Umno dan akar umbi PAS di 27 kerusi bersetuju untuk mengadakan perbincangan bagi mengelak pertembungan antara PN dan BN.

“Ya (kerusi itu) termasuk. Tapi di peringkat perbincangan...nanti akan diangkat semula kepada parti,” kata Tuan Ibrahim ketika ditanya mengenai perkara itu.

Dia juga mengulangi pendirian PAS bahawa muafakat penyatuan ummah yang dibawa PAS lebih besar daripada agenda menghadapi PRU.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo