NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: KKM syor individu positif COVID-19 dibenar mengundi dengan SOP ketat - Khairy

Kementerian Kesihatan akan melaksanakan SOP COVID Safe Election, dengan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 tidak lama lagi, kata Khairy Jamaluddin. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) COVID Safe Election, dengan mengesyorkan individu positif COVID-19 dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kebenaran itu akan dimuktamadkan dan disyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat, dengan pematuhan SOP yang ketat.
Selain itu, Khairy menjelaskan, SOP baharu itu akan turut membenarkan calon-calon untuk menjalankan aktiviti kempen seperti biasa sepanjang PRU15.


Bagaimanapun, Khairy berkata, perkara itu tertakluk kepada kepada keputusan SPR dan SOP pilihan raya oleh suruhanjaya tersebut.
"Hak mengundi bagi mereka yang positif jadi saya sedang melihat bahawa mereka yang positif dan menjalani pengasingan di rumah dan bukan kes kritikal di hospital boleh mengundi, (kerana) dulu kita tak benarkan (semasa kes COVID-19 tinggi).
"SOP nanti SPR akan umumkan, kita ada SOP tertentu seperti bila dia sampai kena kenalkan diri kaunter pendaftaran SPR, dan ada mungkin laluan tertentu untuk mereka mengundi nanti, wajib pakai pelitup muka dan sebagainya.
"Saya telah pertimbangkan isu ini dengan mendalam dan saya melihat bahawa hak mereka untuk mengundi seperti mana termaktub dalam Perlembagaan, adalah hak yang sangat penting," katanya di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pengurusan Bencana dan Pelancaran Buku “An Overview Of Disaster Life Support In Disaster Management” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Tegas Khairy, KKM memberi jaminan bahawa pelaksanaan SOP berkenaan tidak akan memudaratkan orang ramai yang keluar mengundi ke pusat-pusat pengundi.
Dalam pada itu beliau menambah, SOP tersebut juga boleh dilaksanakan walaupun Kabinet ketika ini berfungsi secara sementara memandangkan ia bersifat kepentingan awam.
"Apa-apa keputusan yang ada kepentingan awam boleh dilaksanakan dan ini (SOP pengundian) termasuk dalam keputusan untuk kepentingan awam.
"Lagi pun arahan saya untuk adakan perbincangan dengan SPR sudah dibuat sebelum Parlimen dibubar dan kita fikir panjang di KKM," jelas Khairy.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada 10 Oktober selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, Kabinet ketika ini berfungsi sebagai kerajaan sementara atau "caretaker" dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

Sumber | Astro Awani




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo