NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU15: BERSATU akan bertanding di kerusi kubu BN di Terengganu

KUALA NERUS: BERSATU akan bertanding di kerusi kubu Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata hasil persetujuan bersama melalui perbincangan dengan PAS, BERSATU akan bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen Besut dan Hulu Terengganu, selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, BERSATU negeri mengesahkan senarai nama calon pada PRU15 sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kini dalam proses fasa akhir.

"Kita menyerahkan pemilihan calon yang bertanding kepada pucuk pimpinan yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.

"Pemilihan calon kini sudah masuk fasa akhir bagi menentukan siapa layak bertanding mewakili BERSATU Terengganu pada PRU15," katanya yang ditemui, di sini.

Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, semua nama calon yang diserahkan adalah anak tempatan Terengganu dan tiada calon payung terjun akan diketengahkan pada PRU15.

"Kita menyenaraikan antara satu hingga tiga nama calon bagi setiap DUN dan Parlimen, namun terserah kepada pucuk pimpinan untuk memutuskan siapa yang layak bertanding atas tiket BERSATU Terengganu.

"Setakat ini, saya kekal akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu. Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung perkara itu akan ditentukan oleh pucuk pimpinan," katanya.

Pada PRU14, Rosol yang bertanding atas tiket BN menewaskan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid, dan Datuk Razali Idris yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bertanding menggunakan logo PKR ketika itu.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Pada PRU14, BN hanya meraih 10 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen, manakala selebihnya dimenangi PAS.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo