NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Elak pertandingan tiga penjuru hanyalah muslihat - Zahid

Pelawaan PAS untuk mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti itu dengan BN dan PH hanya satu taktik yang penuh muslihat, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi BN itu berkata sebarang kerjasama dengan PAS perlu bersifat menyeluruh dan tidak boleh melibatkan kerusi-kerusi tertentu sahaja.

"BN menghormati keputusan yang dicapai oleh PAS. Terserah kepada mereka bagaimana mahu bergerak pada PRU akan datang. Jika mereka bersama dengan kita atau tidak, kita tetap berpegang kepada supaya kita tidak mahu untuk secupak tetapi rugi segantang.

“Sebarang keputusan yang akan kita perolehi mesti melihat dari segi keberuntungan yang akan diperolehi oleh BN. Tapi kalau mahu bekerjasama, biarlah bekerjasama 'totally', bukan kerana merundingkan kononnya ada kerusi bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dengan PH.

"Kami fikir itu adalah taktikal atau pun muslihat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan kekal meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan Umno dan Bersatu.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Setiausaha Agung BN Dr Zambry Abdul Kadir, Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein, Presiden MIC SA Vigneswaran dan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Sebelum ini, terdapat cadangan di kalangan pemimpin PAS bahawa parti itu dan Umno mengelak bertembung tiga penjuru dalam menghadapi PH pada PRU akan datang.

Untuk rekod, pada PRU14 PH menang sekurang-kurangnya 24 kerusi parlimen dalam pertandingan tiga penjuru antara PAS dan Umno walaupun jumlah undi kedua-dua parti melebihi undi yang diperolehi PH.

Zahid bagaimanapun berkata Umno menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh PAS.

"Kita menghormati dan tidak akan ada sebarang serangan akan dilakukan.

"Tapi, pastinya sekiranya kita diserang kita akan serang balik dengan fakta," tegasnya.

Umno tak tutup pintu

Sementara itu, Zahid menafikan bahawa Umno telah menutup pintu perbincangan dengan PAS.

"Kita tidak pernah pun mulakan rundingan. Jadi, tidak bangkit sama ada kita mula atau hentikan rundingan.

"Mereka yang datang kepada kita mereka yang mahu bersama-sama untuk mewujudkan semula Muafakat Nasional (MN).

"Kita berpegang kepada ketetapan dalam perhimpunan agung (Umno) yang lalu, mengatakan bahawa kita mahu terus kekalkan MN dengan mereka.

"Namun, setelah kita ditinggalkan, kita tidak pernah menghalau sesiapa untuk tidak berkawan dengan dan kita pun tidak pernah menjemput sesiapa untuk berkawan dengan kita," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo