NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Popular' di media sosial berpeluang pikat pengundi muda

KUALA LUMPUR: Calon pilihan raya yang aktif dan 'popular' di media sosial mempunyai peluang tinggi untuk menambat hati pengundi, terutamanya golongan muda yang kali pertama menjalankan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed, berkata ia berikutan realiti pada zaman Internet ketika ini membuatkan platform media sosial mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pendirian politik pengundi.

"Lebih-lebih lagi apabila calon memainkan isu yang dianggap sensasi dan menarik perhatian pengundi. Soal benar atau salah, tulen atau palsu kelihatannya tidak menjadi perkiraan utama kebanyakan pengguna media sosial," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain itu, beliau berkata, pengundi muda secara umumnya mengutamakan calon yang dianggap serta dipercayai berupaya memberi faedah secara langsung kepada golongan itu.

Katanya, pengundi muda mengutamakan isu yang dianggap 'sensasi' antaranya peluang pendidikan tinggi, peluang perniagaan yang disokong dengan bantuan modal dan insentif lain serta peluang pekerjaan yang menjanjikan insentif terbaik dan segera.

"Usia calon - lebih muda lebih dianggap ideal - memberi kelebihan kepada calon namun ia juga bergantung kepada beberapa sifat luaran calon muda seperti perawakan, latar belakang teknikal calon, lokaliti dan juga idealisme politik yang ditunjukkan," katanya.

Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu jumlah pengundi yang berdaftar setakat Mei 2022 adalah 21,113,234 orang, dengan 1,141,749 orang atau 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 hingga 20 tahun.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac lepas menjadi medan pertama pelaksanaan Undi18 bagi golongan berusia 18 hingga 20 tahun merasai pengalaman keluar dan melalui proses mengundi bagi memilih wakil rakyat pilihan mereka.

Kebenaran untuk mereka mengundi adalah susulan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran pengundi automatik diluluskan pada Mac 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata PRN Johor bukanlah cerminan sebenar kepada penyertaan dan pengaruh pengundi muda baharu dan keputusan pilihan raya itu juga tidak dapat memberi gambaran jelas berkenaan impaknya kepada PRU15.

Nasrudin berkata, PRN Johor sepatutnya merekodkan hampir 30 peratus atau hampir 750,000 orang penambahan bilangan pengundi muda antara 18 hingga 20 tahun yang layak mengundi, namun impak penyertaan pengundi muda dalam PRN itu tidak begitu memberi kesan nyata secara keseluruhan.

"Antara sebabnya termasuklah realiti bilangan pengundi yang keluar mengundi waktu itu agak rendah dengan kira-kira 55 peratus sahaja manakala bilangan pengundi muda yang keluar mengundi juga sangat rendah, hanya mewakili kira-kira enam peratus sahaja daripada jumlah pengundi.

Selain itu, beliau berkata dapatan beberapa kajian yang dijalankan sehingga kini juga mendapati pengundi muda tidak menunjukkan minat dan kecenderungan serta keutamaan yang tinggi dalam soal berkaitan politik.

"Saya fikir agak rasional untuk kita merumuskan secara umum bahawa pengundi muda tidak akan memberi impak yang besar kepada keputusan PRU15 akan datang.

"Dengan kata lain, trend yang ditunjukkan adalah jelas bahawa keputusan pilihan raya masih lagi ditentukan oleh mereka yang bukan daripada kalangan pengundi muda, sama ada mereka keluar mengundi ataupun seperti berlaku di

Johor, mereka tidak keluar mengundi," katanya.

Justeru, beliau mengunjurkan bilangan pengundi muda yang akan keluar mengundi pada PRU15 secara keseluruhannya adalah rendah dengan jangkaan tidak lebih 30 peratus.

– BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo