NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya tak akan lantik Tommy Thomas jika tahu dia berat sebelah' - TunM

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak akan memilih Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara jika tahu peguam itu seorang yang berat sebelah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya memilih Thomas kerana ketika itu berpandangan beliau seorang yang 'saksama dan mematuhi kedaulatan undang-undang'.

Bagaimanapun, Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) itu mengakui pandangan berkenaan berubah selepas Thomas menulis memoir kontroversinya, 'My Story: Justice in the Wilderness'.

"Selepas menulis buku itu, beliau mula menyuarakan pandangannya, namun pelantikan beliau dibuat sebelum buku itu ditulis.

"Kami tahu ketika itu beliau seorang peguam yang berpegang pada kedaulatan undang-undang. Jadi, dia dilantik atas faktor itu.

"Beliau tidak berat sebelah dan berpihak pada kerajaan, malah dia amat kritikal terhadap saya ketika saya menjadi Perdana Menteri. Dia saksama, sebab itu dia dilantik.

"Jika saya perlu mengulanginya semula, saya akan melantik seorang individu yang tidak berat sebelah," katanya seperti dilaporkan The Star hari ini.

Sebelum ini, laporan Pasukan Petugas Khas (STF) berhubung siasatan ke atas dakwaan dalam buku 'My Story: Justice in the Wilderness', mendedahkan beberapa salah lalu Thomas ketika menjadi Peguam Negara.

Antaranya, pelantikan Tun Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara pada 2018, yang tidak pernah dicadangkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), sebaliknya dipersetujui Thomas dan Dr Mahathir.

Selain itu, laporan itu mendakwa Thomas mengetepikan pegawainya sendiri dan melantik 23 peguam luar bagi mewakili kerajaan tanpa mengikut prosedur, yang menimbulkan pertikaian kerana pelantikan bagi mengendalikan kes berprofil tinggi itu secara langsung memberi peguam terbabit akses kepada dokumen dan maklumat sulit.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa, bekas Peguam Negara ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tidak melakukan tugasnya dengan betul kerana melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada kesalahan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Sebaik saja Mohamed Apandi dilantik, beliau memaklumkan Najib tidak bersalah, tetapi selepas Peguam Negara baharu dilantik, beliau mendapati ada banyak kesalahan dilakukan Najib.

"Selepas meneliti bukti, Thomas putuskan ia perlu dibawa ke mahkamah. Sembilan hakim di tiga mahkamah selepas empat tahun putuskan Najib melakukan banyak jenayah, yang menunjukkan Mohamed Apandi tidak melakukan tugas dengan betul," katanya.

Pada masa sama, Dr Mahathir menolak dakwaan Thomas dalam memoirnya yang mengatakan kerajaan Melayu tidak kompeten untuk menguruskan negara.

"Negara ini sudah merdeka lebih 65 tahun. Lebih 60 tahun kerajaan didominasi orang Melayu. Ia digelar 'Harimau Asia' dan menjadi negara terbaik dalam kalangan bekas jajahan British.

"Jadi, kamu tidak boleh salahkan orang Melayu atas salah urus tadbir kerana mereka yang memajukan negara ini, bukan British.

"Ketika British memerintah, Malaysia amat miskin. Hanya selepas merdeka, negara ini dibangunkan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo