NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Polis siasat kenyataan Thomas ‘kerajaan Melayu gagal’, panggil pengerusi PSM


PETALING JAYA:
Polis memulakan siasatan berhubung kenyataan bekas peguam negara, Tommy Thomas, dalam sebuah forum bulan lalu berhubung pembangkang perlu memaklumkan kepada masyarakat “kerajaan Melayu” telah gagal.

Parti Sosialis Malaysia dalam kenyataan berkata, pengerusinya, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, telah dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman untuk memberi keterangan mengenai kes itu, pada Khamis.

Jeyakumar dan Thomas adalah ahli panel di forum itu.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan mengecam Bukit Aman berhubung siasatan itu, berkata Thomas dan penceramah lain berhak menyatakan pendapat mereka.

Beliau berkata, memanggil panel yang bercakap di forum awam bertentangan dengan semangat kebebasan menyuarakan pandangan dan kebebasan bersuara termaktub dalam Perlembagaan.

“Tindakan polis adalah satu lagi pembaziran dana awam,” kata Arutchelvan dalam kenyataan.

“Mereka sepatutnya membelanjakan wang cukai kita untuk perkara yang lebih baik untuk kepentingan rakyat dan tidak melibatkan diri dalam dendam politik pihak tertentu.”

Thomas membuat kenyataan itu semasa berucap dalam forum “Dark Forces Toward GE15” yang diadakan pada 17 Sept.

Beliau menggesa pembangkang menguar-uarkan kepada pengundi untuk bertanya kepada diri mereka sama ada “kerajaan Melayu” telah menjadikan negara lebih baik dan cekap.

Beliau berkata, Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai perdana menteri kerana tanggapan bahawa kerajaan tidak “cukup Melayu”.

Bagaimanapun, dua tahun setengah selepas peletakan jawatannya, Jemaah Menteri didominasi oleh orang Melayu, dan orang bukan Melayu telah diketepikan, katanya.

Ahli panel lain pada forum itu ialah peguam dan aktivis hak asasi manusia Siti Kasim, veteran DAP Lim Kit Siang dan pengasas bersama Gerak Independent Tawfik Ismail.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo