NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM nafi peruntukan pembangunan RM95 bilion untungkan taikun


KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob menyangkal dakwaan pembangkang kononnya perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM95 bilion bawah Bajet 2023 akan menguntungkan syarikat taikun dan konglomerat.

Beliau memberi jaminan bahawa kontraktor tempatan berkelayakan akan mendapat peluang sebaiknya bawah peruntukan DE untuk membangunkan projek pembangunan negara.

Ismail berkata, pembangkang kemungkinan lupa bahawa kerajaan bukan sahaja telah meluluskan projek mega, namun pembinaan sambungan seperti Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

“Struktur jalan di dua negeri itu perlu dibangunkan dengan cara moden, ini tanggungjawab kerajaan. Projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) juga telah menyediakan puluhan ribu pekerjaan yang mendapat faedah adalah rakyat dan kontraktor kecil kerana ia termasuk untuk peruntukan luar bandar.

“Daripada RM95 bilion itu, difahamkan RM3 bilion untuk pembangunan luar bandar. Bukan projek besar sahaja, namun projek kecil seperti pembinaan jalan luar bandar pembangunan untuk elektrik, air luar bandar dan sebagainya.

“Tohmahan pembangkang tidak benar kerana RM95 bilion beri faedah kontraktor-kontraktor kecil dari G1 hingga G4,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Kontraktor Melayu Malaysia kali ke-43 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebelum ini, penyandang Parlimen Subang Jaya, Wong Chen, berkata peruntukan besar bagi pembangunan dalam Bajet 2023 bakal “diraikan” kontraktor kerajaan dan taikun.

Wong juga menjangkakan, kumpulan berkenaan akan menjadi “penyumbang utama dana politik” menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mengulas lanjut, Ismail berkata, bagi menyokong kontraktor Bumiputera, kerajaan akan menyediakan pembiayaan jangka pendek kepada kontraktor Bumiputera yang terlibat dalam bidang seperti elektrikal dan pembinaan melalui Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike) melalui dana RM20 juta.

“Sebanyak RM50 juta nilai projek-projek kecil akan dikhususkan kepada kontraktor wanita kelas G1 hingga G4 menerusi inisiatif ‘kontraktornita’ bagi menyokong penyertaan lebih ramai kontraktor wanita Bumiputera dalam perolehan kerajaan.

“Namun, semua ini akan hanya dinikmati sekiranya Bajet 2023 ini dibentangkan kembali dan diluluskan selepas PRU15. Maknanya, kerajaan hari ini perlu dipilih kembali untuk menerajui negara,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo