NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Permohonan Najib hadiri Dewan Rakyat ditolak Penjara

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri prosiding Dewan Rakyat minggu ini.

Perkara itu disahkan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selepas prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Jabatan Penjara menolak permohonan anak guamnya untuk hadir pada prosiding itu yang dibuat pihaknya pada 19 September lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

"Mereka membalas permohonan itu dan tidak benarkan atas alasan keselamatan, … saya rasa sangat pelik kerana sebenarnya Parlimen lagi selamat daripada mahkamah kerana di mahkamah beliau terdedah kepada orang awam.

"Oleh kerana permohonan ditolak, kami membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, dan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

"Jika esok pada jam 12 tengah hari kami masih tidak menerima sebarang jawapan, kami akan failkan semakan kehakiman untuk membetulkan kesilapan yang dibuat oleh penjara melalui keputusan itu," katanya.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya bagaimanapun perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Tinggi sebelum boleh memulakan semakan kehakiman.

Sementara itu, Muhammad Shafee menegaskan Najib masih lagi seorang ahli parlimen dan sepatutnya diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang turut akan mendengar pembentangan Bajet 2023 Jumaat ini.

Katanya, Ahli Parlimen Pekan itu juga sepatutnya diberikan hak untuk berjumpa pembantu politik atau dibenarkan melawat kawasannya.

"Perkara kedua, kami ada memberitahu penjara bahawa sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu, sepatutnya pembantu politik boleh melawatnya untuk mendapatkan arahan mengenai apa yang perlu dilakukan supaya rakyat di kawasan itu mendapat perkhidmatannya, kalau tidak mereka tiada ahli parlimen yang berfungsi.

"Ketiga, ini mungkin lebih sukar untuk diuruskan, tetapi tidak mustahil, iaitu sekali-sekala beliau selagi seorang ahli parlimen, sepatutnya boleh diiring ke kawasannya untuk mendengar keluh kesah penduduk. Kemudian beliau boleh mewakilkan kerja kepada pembantunya bagi mendapatkan penyelesaian atau mungkin memberikan bantuan," katanya.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun ketika ini, boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.

Azhar berkata, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu untuk hadir kerana Najib berada di bawah jagaan (custody) Jabatan Penjara.

"Mengenai kehadiran Yang Berhormat Pekan, ia bukan di bawah kuasa saya langsung. Jika beliau hadir, maka beliau tidak perlu meminta kebenaran saya untuk masuk ke Dewan.

"Persoalannya sekarang, adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah kuasa saya kerana ia bukan di bawah jagaan saya. Jadi, penjara mempunyai hak penjagaan beliau, maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan itu.

"Mengikut kefahaman saya, jika pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan, maka pihak penjaralah yang menetapkan syarat pelepasan itu. Sekali lagi, bukan juga kuasa saya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang membangkitkan cadangan supaya Najib dibenarkan hadir ke Parlimen, namun dengan tangan bergari, kerana beliau masih lagi seorang Ahli Parlimen.

Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo