NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Olimpik Tokyo: Pengerusi syarikat penerbitan utama Jepun didakwa rasuah

Kadokawa dan sekutunya didakwa meminta Takahashi membantu syarikat penerbitan berkenaan menjadi penaja Sukan Tokyo dengan yuran penajaan yang terhad serta proses kontrak disegerakan. - Gambar hiasan/ Reuters

TOKYO: Pengerusi sebuah syarikat penerbitan utama Jepun, Kadokawa Corp, didakwa pada Selasa atas pertuduhan memberi rasuah kepada bekas eksekutif Olimpik Tokyo dengan pendedahan terbaharu itu terus mencemarkan lagi reputasi Sukan Musim Panas tahun lalu.
Tsuguhiko Kadokawa, yang ditangkap bulan lepas, didakwa membayar 69 juta yen (kira-kira AS$477,000) kepada Haruyuki Takahashi, 78, bekas eksekutif Olimpik Tokyo, sebagai balasan atas pemilihan syarikatnya sebagai salah satu daripada penaja Sukan Olimpik itu, lapor Xinhua.
Seorang penasihat kepada Kadokawa dan seorang pekerja syarikat yang sama juga telah didakwa kerana disyaki bersubahat dengan Kadokawa, menurut skuad siasatan khas pendakwa raya Tokyo.
Sumber-sumber berkata Kadokawa dan mereka yang bersekongkol dengannya menyalurkan wang melalui akaun bank syarikat penerbitan itu kepada firma perunding yang dikaitkan dengan bekas rakan sekerjanya, Takahashi, yang juga pernah bekerja untuk syarikat pengiklanan utama, Dentsu Inc.
Sebagai balasan, Kadokawa dan sekutunya didakwa meminta Takahashi membantu syarikat penerbitan berkenaan menjadi penaja Sukan Tokyo dengan yuran penajaan yang terhad serta proses kontrak disegerakan.
Takahashi telah pun ditahan kerana disyaki menerima rasuah daripada kem Kadokawa ketika skandal rasuah terus meluas, mencemarkan reputasi Sukan Tokyo, temasya yang tertangguh setahun akibat pandemik COVID-19 global.
Hasil rasuah itu, Kadokawa berjaya menjadi "penyokong rasmi" Sukan itu dalam kategori penajaan perkhidmatan penerbitan buku dan majalah, pada April 2019, kata sumber.
Selain Kadokawa, peruncit sut perniagaan, Aoki Holdings Inc. dan Daiko Advertising Inc. juga didakwa telah membayar sejumlah besar wang untuk mendapatkan status penajaan.
Takahashi didakwa menerima kira-kira 51 juta yen (kira-kira AS$353,000) sebagai sogokan daripada Aoki dan sekitar 15 juta (kira-kira AS$103,700) rasuah daripada Daiko untuk menjadi penaja Sukan itu, kata sumber yang rapat dengan perkara itu.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo