NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Naib presiden PKR nafi parti Waytha mohon sertai PH


Naib Presiden PKR, K Saraswathy menafikan dakwaan presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waythamoorthy bahawa permohonan parti itu ditolak daripada menyertai Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, bekas menteri perpaduan semasa pentadbiran PH itu tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk menyertai gabungan tersebut.

"Kenyataan itu tidak benar. Dia tidak membuat sebarang percubaan (untuk menyertai PH).

“Saya telah semak dengan semua kepimpinan, presiden dan timbalan. Tiada permohonan sedemikian.

"Jadi ini hanyalah kenyataan kosong dan tidak wajar dilakukan selaku kedudukannya sebagai seorang bekas menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Saraswathy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Waythamoorthy bahawa usaha MAP menyertai PH dihalang oleh Anwar Ibrahim kerana Presiden PKR itu enggan parti berasaskan kaum India menyertai gabungan itu.

"Kenyataan dia secara spesifik mengheret nama Anwar adalah cubaan menghantar isyarat yang salah,” kata Saraswathy.

Saraswathy berkata, kenyataan Waythamoorthy hanyalah sekadar gimik dan kemungkinan besar dia sebenarnya berhasrat menyertai Perikatan Nasional (PN) atau gerakan Tanah Air (GTA).

"Kalau kita lihat, masa lalu, dia pernah membuat kenyataan-kenyataan seperti ini yang akan diikuti oleh tindakannya yang berikutnya.

"Jadi saya percaya itu adalah gimik untuk perbuatannya yang seterusnya iaitu menyertai PN atau GTA,” katanya.

Waythamoorthy merupakan pengasas pergerakan Hindraf pada 2007 yang memperjuangkan isu melibatkan masyarakat India dan lantang mengkritik kerajaan BN pada masa itu.

Bagaimanapun dia kemudian beralih arah dan menyokong BN pada PRU 2013.

Waythamoorthy sekali lagi bertukar haluan pada PRU 2018 apabila menyokong bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam menumbangkan kerajaan BN.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo