NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Mereka tak mahu calon lain’, Ku Li jangka pertahan Gua Musang

Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan urusan agihan kerusi kepada parti, namun ramai pengundi tidak mahunya bersara selain terus mendapat sokongan masyarakat Orang Asli.

PETALING JAYA: Penyandang Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak jika dicalonkan untuk mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li menyerahkan urusan agihan kerusi kepada parti, namun ramai pengundi tidak mahunya bersara selain terus mendapat sokongan masyarakat Orang Asli.


“Di Gua Musang ni setiap tahun tak nak bagi saya bersara terutama sekali Orang Asli, mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain.

“Setiausaha Umno Gua Musang (Ab Aziz Yusoff) kata selagi saya tak ‘gogek’ (selagi boleh bergerak) saya kena tawar diri saya untuk bekerja lagi,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Gua Musang, menurut Berita Harian.


Pada mesyuarat itu ahli sebulat suara menyokong Tengku Razaleigh terus meneraju Parlimen Gua Musang.

Tengku Razaleigh, 85, adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Beliau mempertahankan kerusi itu yang kali pertama dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.

Dalam PRU14 pada 2018, Tengku Razaleigh mengekalkan penguasaan di Parlimen itu selepas menang dengan majoriti 3,913 undi dalam saingan tiga penjuru bersama calon PAS dan PKR.


Kayu ukur

Sementara itu, mengulas tindakan PAS menangguhkan kerjasama dengan Umno pada PRU15, Tengku Razaleigh berkata ia akan menjadi kayu ukur penerimaan rakyat terhadap parti berkenaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, tindakan itu tidak salah jika PAS mendapat kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN) dan bergantung dengan Bersatu.

“Jadi kita test (uji) lah, rakyat di negeri-negeri ini puas hati (atau) tidak dengan pemerintahan dia (PAS). Tetapi kalaulah dia mendapat kekuatan daripada PN kerana bergabung dengan Bersatu, apa salahnya,” katanya.


Tengku Razaleigh berpendapat sebenarnya PAS mahu terus bekerjasama dengan Umno demi menyelamatkan kedudukan di tiga negeri berkenaan.

“Ramai kawan-kawan saya beritahu pada saya dan saya sependapat dengan mereka juga, PAS nak bekerjasama dengan Umno sekarang. Ini kerana parti itu nak menyelamatkan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu.

“Jadi kalau Umno bekerjasama dengan PAS, Umno tidak akan usiklah kedudukan di tiga negeri ini,” katanya.


Sumber I FMT Malaysia



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo