NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lima mangsa nahas helikopter terselamat


Cameron Highlands: Juruterbang bersama lima kakitangan perubatan yang terbabit nahas helikopter terhempas di Brinchang dekat Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang dikatakan dalam perjalanan pulang daripada tugas perkhidmatan perubatan masyarakat di Kampung Gawin, Gua Musang, Kelantan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, mangsa terdiri daripada seorang juruterbang lelaki, dan masing-masing dua serta tiga pegawai perubatan lelaki dan wanita dari Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta, Tanjung Rambutan.

Bangkai pesawat jenis Airbus AS 355 F2 bernombor pendaftaran 9M-SSW itu, katanya berjaya ditemukan di koordinat 4'29'56.8"N 101'22'21.0"E berhampiran sempadan negeri Perak-Pahang dekat Brinchang.

Katanya, semua mangsa juga ditemui dalam keadaan selamat namun mengalami pelbagai kecederaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa juga dihantar ke Hospital Cameron Highlands untuk dirawat.

"Semasa kejadian, pesawat ini dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin ke Pangkalan PDU di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selepas menjalankan tugas perkhidmatan perubatan masyarakat," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Sementara itu, tinjauan berdekatan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang dibuka berhampiran lokasi nahas mendapati mangsa keempat sudah selamat dibawa keluar kira-kira jam 8.26 malam ini.

Tinjauan juga mendapati PKTK didirikan dalam kawasan kebun sayur di kawasan berbukit dengan keadaan cuaca hujan renyai berpanjangan, sekali gus memaksa kenderaan untuk ke kawasan PKTK terbabit terpaksa dihadkan bilangannya kepada jentera anggota penyelamat.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo