NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Formula menyungkurkan Anwar di Tambun

1. Sepertimana yang dijangkakan Dato Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Perak sebagai strategi melonjakkan sokongan kepada PH untuk menawan negeri tersebut. Ia juga selari dengan sasaran DAP untuk menjadikan Perak sebagai negeri keempat ditawan oleh PH setelah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Keempat-empat negeri ini bakal dijadikan Koridor PH, yang bakal berperanan sebagai tapak peluncuran untuk menawan seluruh Malaysia di masa hadapan, sekiranya mereka masih gagal dalam PRU ke-15 kali ini.

2. Kerusi parlimen yang dilihat berpotensi untuk Anwar ialah Tambun. Kerusi ini terletak dalam Bandaraya Ipoh dan mempunyai komposisi pengundi hampir sama dengan komposisi rakyat Malaysia. Parlimen Tambun mempunyai 66 peratus pengundi Melayu, 20 peratus pengundi Cina dan 11 peratus pengundi India. Dari segi kebolehmenangan, Parlimen Tambun menepati ciri-ciri kawasan parlimen yang diinginkan oleh mana-mana calon PKR dan PAN untuk bertanding. Dengan pengertian lain ciri-ciri parlimen seperti inilah yang banyak dimenangi oleh PH dalam PRU lalu.

3. Bagaimanapun, pertaruhan Anwar bertanding di Parlimen Tambun sangat berisiko. Dengan tujuan membuat gelombang sokongan terhadap PH agar dapat menawan negeri Perak, Anwar memperjudikan masa depan politik beliau. Sekiranya Anwar tersungkur di Parlimen Tambun kali ini, bermakna tamatlah riwayat politik Anwar, malah beliau kemungkinan akan hilang dominasi di dalam partinya sendiri, PKR. Memang benar, jika Anwar kalah, beliau boleh sahaja meminta mana-mana calon PKR yang menang untuk mengosongkan kerusi, memberi laluan kepadanya seperti di PRK Post Dickson dahulu, tetapi ia sangat memualkan.

4. Dari satu segi memang Parlimen Tambun menepati ciri-ciri kawasan parlimen yang boleh memberi kemenangan kepada PH. Akan tetapi, jika dilihat dari segi profile Parlimen Tambun, ia boleh menjadikan satu mimpi ngeri kepada Anwar dalam PRU kali ini. Berdasarkan keputusan PRU ke-14, Parlimen Tambun mempunyai sokongan akar-umbi UMNO dan PAS yang cukup besar. Dengan andaian PRU ke-14 yang lalu adalah prestasi terburuk bagi UMNO dan PAS, sokongan akar-umbi yang tidak lari dari menyokong UMNO dan PAS dalam PRU tersebut masih cukup besar. 

5. Undi popular yang diperolehi oleh UMNO, yang dapat menunjukkan sokongan akar-umbinya, ialah 37.5 peratus. Manakala undi popular bagi PAS, yang juga boleh memberi gambaran tentang sokongan akar-umbinya, ialah 16.8 peratus. Berdasarkan undi popular itu, dianggarkan akar-umbi UMNO dan PAS mewakili hampir 82 peratus pengundi-pengundi Melayu di Parlimen Tambun. Manakala 18 peratus lagi sokongan pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PH di parlimen itu dalam PRU ke-14, sebahagiannya disebabkan faktor sokongan kepada Bersatu dan juga kepada peribadi Dato Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja).

6. Diyakini, dalam situasi masa kini setelah Bersatu meninggalkan PH, sokongan pengundi Melayu yang tinggal kepada PH di Parlimen Tambun ialah sekitar 10 peratus sahaja. Lagi 90 peratus sokongan pengundi Melayu adalah bersama BN atau PN. Sokongan pengundi Melayu seperti ini, yang sebahagian besarnya tidak berpihak kepada PH, boleh menyebabkan Anwar tersungkur. Yang menjadi halangan terbesar untuk melihat Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah sokongan pengundi Melayu terbelah dua, sebahagian kepada UMNO dan sebahagian lagi kepada Bersatu.

7. Oleh sebab itu, formula untuk memastikan Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah pakatan pilihanraya (electoral pact) antara UMNO, PAS dan Bersatu. Sekiranya UMNO boleh memberi laluan kepada Peja bertanding di Parlimen Tambun, calon UMNO pula diberi laluan di DUN Hulu Kinta dan calon PAS diberi laluan di DUN Manjoi, dengan kehendak Allah swt jua, Anwar boleh tersungkur. Parlimen Tambun, DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi akan terlepas dari tangan PH. Demikianlah mudahnya formula untuk menyungkurkan Anwar dan sekaligus menghalang PH daripada menawan Perak.

8. Perjalanan politik Anwar akan ternoktah dengan formula ini. Jika ini boleh berlaku, satu pertiga daripada punca krisis politik Malaysia yang tidak berkesudahan dapat dihilangkan. Krisis politik Malaysia yang berlaku pada hari ini sehingga memperlihatkan ketidakstabilan demi ketidakstabilan, adalah rentetan dari persaingan sengit antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1998 lagi. Pertembungan antara Anwar dan Mahathir diambil kesempatan oleh DAP untuk bertapak kukuh dalam politik Malaysia. Anwar, Dr Mahathir dan DAP, itulah punca ketidakstabilan politik Malaysia.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo