NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Liew atau Boo pengganti Kit Siang di Iskandar Puteri?


Di tengah spekulasi yang mengatakan bahawa Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong mungkin akan menggantikan veteran parti Lim Kit Siang untuk bertanding di Iskandar Puteri, sekumpulan ahli akar umbi parti itu mencadangkan Dr Boo Cheng Hau untuk dicalonkan di kerusi parlimen berkenaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, tujuh cawangan DAP dari Iskandar Puteri berkata ini adalah antara resolusi yang mereka putuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada 16 Okt lepas.

Resolusi lain ialah menggesa Lim menarik balik rancangan persaraannya dan bertanding semula pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi di kerusi parlimen lain, yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Mereka berkata kedua-dua resolusi itu telah dikemukakan kepada jawatankuasa yang terdiri daripada lima ahli parti mengenai pemilihan calon.

Tujuh cawangan itu ialah Impian Emas, Taman Ungku Tun Aminah, Flat Taman Ungku Tun Aminah, Taman Universiti, Lima Kedai, Kangkar Pulai dan Batu 8 1/2 Skudai.

Mereka berkata Lim perlu digantikan oleh Boo yang merupakan pemimpin kanan di Iskandar Puteri.

“Kami juga mencadangkan agar Lim terus bertanding pada PRU15 untuk memimpin parti dalam misi pembaharuan dan perjuangan politiknya,” kata mereka.

Lim telah mengumumkan rancangan persaraannya pada kongres kebangsaan parti itu pada 20 Mac.

Liew sasar untuk bertanding di Iskandar Puteri?

Pada 2 Julai, Liew, yang merupakan Adun Perling, mengiringi Lim menghadiri majlis di Iskandar Puteri.

Semasa acara itu, Liew berkata dia akan bertanding dalam PRU akan datang, mencetuskan spekulasi bahawa dia berhasrat untuk bertanding di Iskandar Puteri.

Bagaimanapun, Liew enggan mengulas mengenai spekulasi itu.

Boo adalah Adun dua penggal untuk Skudai, yang merupakan kerusi DUN di bawah Iskandar Puteri.

Pada PRU 2018, Boo ditawarkan oleh pucuk pimpinan parti untuk bertanding di kerusi Parlimen Labis. Tetapi dia telah menolak tawaran itu.

Liew mencabar presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam tetapi tewas dalam pilihan raya yang sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee hari ini mengumumkan akan bertanding semula di Ayer Hitam.








............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo