NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

JDT akhiri Liga Super dengan bergaya


JUARA
Liga Super 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan saingan Liga Super 2022 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Sabah FC, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan musim ini.

Lebih membanggakan apabila penyerang import JDT, Bergson Da Silva muncul selaku penjaring terbanyak Liga Super dengan 29 gol, tidak termasuk lima gol yang dijaringkannya dalam saingan Piala FA untuk skuad Harimau Selatan itu.

Turun dengan misi mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir di laman sendiri menyaksikan JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang pelawat.

Bagaimanapun, beberapa peluang jaringan gagal disempurnakan jentera serangan skuad Harimau Selatan yang diketuai penjaring terbanyak Liga Super 2022 Bergson Da Silva selain berjaya dikekang benteng pertahanan pelawat.

Namun minit ke-17, Bergson menggamatkan stadium apabila menyempurnakan lorongan cantik daripada pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi untuk gol pembukaan perlawanan.

Tersentak dengan gol pembukaan berkenaan menyaksikan kesebelasan Sabah FC mula bangkit mengatur asakan ke gawang JDT dalam usaha menyamakan kedudukan, namun asakan-asakan berkenaan berjaya dikekang benteng pertahanan tuan rumah.

Malah, kesempatan itu dimanfaatkan skuad Harimau Selatan itu untuk menambah jaringan menerusi pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi yang menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-39.

Pemain berusia 20 tahun itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan peribadinya pada minit ke-41, namun percubaannya kali ini berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Sabah, Damien Lim.

Damien juga cemerlang menangkis percubaan Bergson pada penghujung perlawanan bagi memastikan kedudukan 2-0 memihak kepada JDT kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan dan hasilnya, Bergson sekali lagi menggamatkan stadium apabila menjaringkan gol ketiga skuad Harimau Selatan itu pada minit ke-55.

Bergson sekali lagi berjaya menggegarkan jarring gol Sabah FC pada minit ke-70, namun gol berkenaan dibatalkan kerana Bergson didapati ofsaid terlebih dahulu.

Biarpun selesa mendahului 3-0, namun JDT dilihat masih tetap mengasak hebat ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan, namun asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan.

Di penghujung perlawanan skuad Harimau Selatan itu dilihat mempunyai deretan peluang untuk menambah jaringan, namun kesemua peluang berkenaan gagal dimanfaatkan jentera serangan pasukan dan menyaksikan keputusan 3-0 memihak kepada JDT kekal hingga ke wisel penamat.


JDT – Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Muhammad Feroz Baharudin (Aidil Zafuan Radzak), Nazmi Faiz Mansor (Akhyar Rashid), La’vere Corbin-Ong (Syahmi Safari), Syafiq Ahmad (Daryl Sham K.K George), Natxo Insa, Shahrul Saad, Arif Aiman Mohd Hanapi (Safawi Rasid)

Sabah FC – Khairul Fahmi Che Mat (Damien Lim), Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim, Rawilson Batuil, Baddrol Bakhtiar (kapten)- (Amri Yahyah), Taiki Kagayama (Azhad Harraz Arman), Alto Linus, N.Thanabalan (Muhammad Farhan Roslan), Rizal Ghazali, Gary Steven Robbat, Dominic Tan, Saddil Ramdani

Pengadil – Razlan Joffri Ali







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo